Etiqa lancar Dana ESG pertama.

Etiqa lancar Dana ESG pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Etiqa melancarkan Dana ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) pertamanya, Premier Global Sustainable Equity Fund (PGSEF).

Dana itu dicipta khas untuk menyampaikan prestasi melalui pelaburan dalam syarikat-syarikat yang mempunyai aktiviti-aktiviti pelaburan kelestarian dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Menurut Etiqa, Dana ESG itu merupakan tawaran terbaharu untuk individu melabur melalui pelan insurans berkaitan pelaburan seperti Dynamic Invest, Smart Wealth dan Smart Flexi Plus.

Jelasnya, pelan-pelan berkenaan diunderait oleh Etiqa Life Insurance Berhad dan boleh diperolehi melalui Maybank.

“Diuruskan oleh pengurus dana berpengalaman, J.P. Morgan Asset Management dan Natixis Investment Managers International, PGSEF memberi peluang kepada para pelanggan untuk melabur dalam syarikat yang mempunyai kelayakan kelestarian dan asas bisnes global terbaik.

“Dengan pilihan konsumer serta sikap umum semakin matang, trend dana ESG akan sentiasa berkembang menguasai arus pelaburan. Pembuat polisi sedang mengatur matlamat sosial serta alam sekitar, ESG mencipta peluang keemasan untuk peneraju perubahan,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Strategi Etiqa, Chris Eng berkata, syarikat berbesar hati memperkenalkan Premier Global Sustainable Equity Fund (PGSEF), dana ESG pertama Etiqa yang akan menarik pelabur-pelabur untuk melabur dalam syarikat yang mempunyai standard ESG yang lebih ketat.

Kata beliau, pengenalan PGSEF selari dengan perjalanan kelestarian Etiqa sejak 2019 dan termaktub dalam Kenyataan Kelestarian syarikat yang menyatakan cita-citanya dalam melibatkan klien, rakan dan pemegang taruh.

“Dengan peningkatan kesedaran tentang impak perubahan iklim serta peningkatan risiko daripada pengurusan sumber manusia yang kurang tepat, para pelabur melihat dana ESG sebagai satu inisiatif yang lebih selamat dalam mengharungi pasaran yang tidak menentu dalam jangka masa yang lebih panjang.

“Dengan peningkatan harga komoditi akibat daripada peperangan Ukraine-Russia baru-baru ini, turut meningkatkan nilai pelaburan berkaitan bahan api fosil, dengan anjakan pendapat umum yang cenderung kepada Kelestarian Sosial dan Ekonomi, digabungkan dengan risiko fizikal daripada perubahan iklim, berkemungkinan tinggi pulangan dana ESG mampu mengekalkan prestasi yang telah kita lihat sepanjang empat tahun yang lalu.

“Semestinya pengaliran tunai kedalam dana ESG ini adalah petanda baik untuk mereka yang mencari aset yang lebih stabil dalam jangka masa yang lebih panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN