MELBOURNE: Harga minyak meningkat pada Khamis, melanjutkan rali berhati-hati minggu ini berikutan tanda-tanda bekalan yang ketat, manakala Kesatuan Eropah (EU) bertelagah dengan Hungary berhubung rancangan untuk mengharamkan import dari Rusia.
Niaga hadapan minyak mentah Brent bagi Julai meningkat 40 sen, atau 0.35 peratus, kepada AS$114.43 (kira-kira RM502.92) setong.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat (AS) pula meningkat 55 sen, atau 0.5 peratus kepada AS$110.88 (RM487.32) setong.
Menurut laporan Reuters, pengeluaran yang lebih besar daripada jangkaan dalam inventori minyak mentah AS hingga 20 Mei, berikutan peningkatan eksport, merangsang pasaran kelmarin.
Penganalisis berkata, pengeluaran inventori dan prospek sekatan minyak Russia oleh EU sebagai tindakan balas terhadap apa yang Moscow panggil “operasi ketenteraan khas” di Ukraine, telah mendorong harga lebih tinggi.
“Tumpuan dalam pasaran minyak adalah pada sidang kemuncak EU yang berlangsung minggu depan, di mana satu lagi percubaan akan dibuat untuk persetujuan sekatan menyeluruh terhadap minyak Rusia,” kata Stephen Innes, rakan kongsi pengurusan di SPI Asset Management dalam satu nota.
Kelmarin, Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dilaporkan berkata, beliau yakin bahawa persetujuan boleh dicapai sebelum mesyuarat majlis seterusnya dijadual pada 30 Mei ini.
Sementara itu, harga emas jatuh apabila dolar didagangkan lebih tinggi, dengan beberapa pelabur tunai masuk selepas mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS menunjukkan bahawa bank pusat itu berkemungkinan akan mengekalkan landasan mengenai kenaikan kadar faedah.
Emas spot turun 0.5 peratus kepada AS$1,844.15 (kira-kira RM8,1105.04) seauns apabila dolar yang lebih kukuh menjejaskan permintaan untuk jongkong berharga itu bagi pembeli yang memegang mata wang lain. Niaga hadapan emas AS susut 0.2 peratus kepada AS$1,843.30 (RM8,101.30).
“Komitmen Fed untuk menaikkan kadar telah menjejaskan sedikit harga emas, dengan tindakan mengambil untung oleh para pelabur. Harga boleh turun kepada AS$1,820 (RM7,998.90) atau lebih,” kata Brian Lan, pengarah urusan peniaga GoldSilver Central kepada Reuters.
Emas mengurangkan beberapa kerugian yang didorong oleh kekuatan dolar pada Rabu selepas nota daripada mesyuarat Fed mencadangkan bank pusat tidak menjadi lebih agresif, dan menaikkan semula kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada Jun dan Julai untuk memerangi inflasi. – AGENSI










