Dana Ekuinas Direct Tranche II jana IRR kasar tahunan 12.1 peratus

Dana Ekuinas Direct Tranche II jana IRR kasar tahunan 12.1 peratus

ekuinas
Syed Yasir Arafat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaburan langsung Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian (PE), menerusi Dana Ekuinas Direct (Tranche II) mencatatkan pertumbuhan kukuh. Ini berdasarkan Pulangan Portfolio Kasar RM654.0 juta, menjana Kadar Pulangan Dalaman (IRR) kasar tahunan sebanyak 12.1 peratus  setahun dan IRR bersih tahunan sebanyak 8.6 peratus.

Ini menandakan peningkatan ketara berbanding tahun lepas yang menyaksikan dana itu mencatatkan pulangan portfolio kasar sebanyak RM571.2 juta. 

Sementara itu, Ekuinas Direct (Tranche III) Fund merekodkan kerugian portfolio Kasar RM125.3 juta, atau IRR kasar tahunan negatif 4.3 peratus.

Ekuinas Direct (Tranche IV) Fund masih di peringkat awal pelaburan. Ia dijangka akan memberi prestasi baik disokong oleh prestasi kukuh aset pendasarnya, Medispec (M) Sdn. Bhd.. Medispec adalah pengedar dan pemasar terkemuka produk farmaseutikal dan suplemen tempatan. 

Pelaburan yang dibentuk pada Februari 2021 menandakan penglibatan pertama Ekuinas dalam industri farmaseutikal.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, sebagai seorang pelabur PE, meski pun tahun 2021 menguji daya tahan Ekuinas berikutan pandemik Covid-19. Namun Ekuinas kekal aktif dalam usaha untuk mengekalkan prestasi portfolio kami dan mencipta nilai jangka panjang untuk pelabur, syarikat, orang ramai dan komuniti.

Bumiputera

Katanya, tahun lalu, Ekuinas berjaya meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat portfolio kami kepada RM5.9 bilion bersamaan 1.5 kali ganda modal yang dilaburkan, berbanding RM5.6 bilion pada 2020.

“Kami juga telah membantu meningkatkan jumlah pengurus dan kakitangan Bumiputera sebanyak 19.4 peratus untuk pengurus bumiputera dan 12.3 peratus untuk kakitangan bumiputera, masing-masing meningkat daripada 13.3 peratus dan 10.5 peratus pada 2020.

“Itu telah menyumbang ke arah meningkatkan nilai Jumlah Pemegang Saham bagi syarikat portfolio kepada RM7.7 bilion, atau 2.0 kali ganda daripada jumlah pelaburan berbanding RM7.0 bilion modal yang dilaburkan pada tahun sebelumnya.

“Ini mencerminkan kejayaan Ekuinas dalam memanfaatkan model perniagaan PE untuk meningkatkan penciptaan nilai dan kekayaan untuk Bumiputera dan semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Melalui pelaburan penyumberan luarnya pula, Ekuinas Outsourced (Tranche I) Fund merekodkan Pulangan Portfolio Kasar sebanyak RM60.5 juta, seterusnya mencapai IRR Kasar tahunan sebanyak 3.3 peratus dan IRR bersih tahunan sebanyak 2.5 peratus, manakala Ekuinas Outsourced (Tranche II) Fund mencatatkan Kerugian Portfolio Kasar RM4.4 juta, atau IRR Kasar tahunan negatif 0.8 peratus.

Prestasi

Bagi tahun di bawah kajian, Ekuinas merekodkan pertumbuhan hasil disatukan sebanyak 12.1 peratus dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 28.0 peratus, mengatasi prestasi TK2020 iaitu negatif 12.8 peratus dan negatif 14.9 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Syed Yasir Arafat berkata, akibat situasi pandemik pada pertengahan 2021 yang menangguhkan pemulihan menyeluruh dalam sektor ekonomi, prestasi pasaran PE di Malaysia secara relatifnya lemah walaupun terdapat pertumbuhan dana dan peruntukan aset. 

“Strategi pelaburan kami sememangnya untuk jangka masa panjang. Nilai sebenar syarikat samar di dalam pasaran yang tidak menentu, oleh itu kami membuat keputusan untuk mengekalkan rizab tunai kami secara utuh walaupun terdapat peluang pelaburan. 

“Kami melaksanakan satu pelaburan susulan sebanyak RM11 juta dalam Orkim Sdn. Bhd. yang telah siap pada April 2021 untuk menyokong keperluan modal kerja syarikat serta membiayai kos permulaan kapal yang baru dibina. 

“Kami juga bersedia melupuskan beberapa pegangan kami untuk mengakhiri 2022 dengan jayanya, lantas mempercepatkan inisiatif realisasi bagi melahirkan prestasi dana yang kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya