KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama jelajah muzik antarabangsa di Asia menerusi penganjuran KL Headline Season 2026 yang bakal menghimpunkan 25 persembahan artis global sepanjang tahun ini.
Inisiatif diterajui Live Nation Malaysia dengan kerjasama PR Worldwide, Tourism Malaysia dan CelcomDigi itu dijangka menarik kehadiran lebih 500,000 peminat muzik dari dalam serta luar negara sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal berkata, Kuala Lumpur kini semakin mendapat perhatian penganjur antarabangsa berikutan permintaan tinggi peminat, lokasi strategik dan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia yang dimiliki negara.
Menurut beliau, musim konsert kali ini menampilkan antara barisan artis antarabangsa terbesar pernah dibawakan ke ibu negara termasuk Lany, Laufey, Bryan Adams, DAY6, TREASURE dan Daniel Caesar.
“Malah, persembahan berskala stadium membabitkan nama besar seperti Post Malone, The Weeknd dan BTS turut dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, sekali gus membuktikan kemampuan bandar raya ini menjadi hab utama jelajah konsert antarabangsa di rantau Asia,” katanya.
Katanya, KL Headline Season 2026 juga selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 47 juta pelancong antarabangsa menerusi penawaran pengalaman pelancongan premium berasaskan hiburan dan gaya hidup.
“Konsert kini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah menjadi pemacu penting pelancongan apabila peminat sanggup merentas sempadan untuk menyaksikan artis kegemaran mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, penganjuran acara berskala besar itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor termasuk hotel, penerbangan, peruncitan serta makanan dan minuman.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, hiburan langsung memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi.
“Acara konsert dan hiburan berskala besar bukan sahaja menarik pelancong antarabangsa, malah turut merangsang pertumbuhan sektor hospitaliti dan perniagaan tempatan.
“Kuala Lumpur berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong perkembangan ini dan kerajaan mengalu-alukan kerjasama berterusan bersama pemain industri termasuk Live Nation,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling berkata, muzik langsung kini menjadi medium penting dalam menghubungkan masyarakat serta mencipta pengalaman bermakna.
Beliau berkata, kerjasama dalam KL Headline Season 2026 membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati pengalaman hiburan bertaraf dunia dengan sokongan rangkaian telekomunikasi yang lebih meluas.
Antara konsert utama yang dijadual berlangsung tahun ini termasuk Daniel Caesar pada 24 hingga 26 Mei, TREASURE (30 Mei), Laufey (2 Jun), Kodaline (26 Ogos), Post Malone (27 September), Lany (1 November), The Weeknd (4 dan 5 November) serta BTS pada 12 dan 13 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, orang ramai boleh melayari Live Nation Malaysia.










