
Tahun 2022 menjanjikan pemulihan ekonomi Malaysia, namun begitu, sektor hartanah terutamanya bagi pejabat masih lagi berdepan risiko berkenaan kadar kepenghunian. Dengan trend model kerja hibrid yang semakin mendapat tempat, bangunan-bangunan pejabat mungkin akan berdepan dengan krisis yang lebih besar tidak lama lagi.
Ruang pejabat yang tidak digunakan bukan sahaja memberi kesan kepada pemilik dan pihak pengurusan bangunan namun juga mempunyai kesan pindahan (knock-on effect) yang bakal memberi impak kepada keseluruhan pasaran hartanah komersial dan ekonomi secara amnya. Peruncit seperti restoran, kedai serbaneka, pasaraya, gimnasium dan banyak lagi juga kini semakin ragu-ragu untuk mengambil risiko mempunyai ruang fizikal di dalam bangunan pejabat atau projek campuran, disebabkan
kebimbangan yang berpunca daripada kekurangan jumlah pengunjung dan pelanggan.
Sebagai seseorang yang sangat biasa dan tahu akan pasaran ruang kerja bersama serta isu hartanah setelah bertahun-tahun membina jenama ruang kerja bersama terbesar di Johor iaitu INFINITY8, saya dengan yakin boleh menyatakan bahawa ruang kerja bersama mempunyai potensi untuk menjadi penyelesaian kepada masalah kadar kepenghunian di ruang-ruang pejabat di Malaysia.
Ruang Kerja Bersama Kini Semakin Relevan
Dengan konsep kerja yang kini lebih fleksibel, adalah difahami mengapa sesetengah orang berpendapat bahawa ramai yang lebih memilih untuk bekerja dari rumah dan ruang kerja bersama sudah tentu terkesan dengan perkembangan ini. Namun begitu, kami menyedari bahawa hal ini adalah sebaliknya. Pasaran ini sedang berkembang lebih pesat daripada sebelumnya dan terdapat lebih banyak permintaan daripada perniagaan-perniagaan mikro, dan lebih lagi daripada individu korporat yang memerlukan ruang ad hoc untuk sehari dua bagi bekerja tanpa gangguan di rumah tanpa perlu pergi ke pejabat.
Namun begitu, bukan hanya golongan pekerja sahaja yang mendapat lebih manfaat melalui ruang kerja bersama, pemilik bangunan dan ruangan pejabat turut merasakannya. Dengan peningkatan permintaan daripada orang ramai yang mahukan lebih banyak ruang kerja bersama disebabkan model kerja yang berubah-ubah, apa yang kami saksikan sekarang adalah peluang yang berterusan untuk ruang kerja bersama.
Perkembangan pesat ruang kerja bersama di seluruh negara juga telah membantu ramai pemilik ruang pejabat yang bergelut dengan kekosongan. Ruang kerja bersama kini telah mengambil sebahagian besar daripada kekosongan ini, menukarkan ruang-ruang yang dahulunya kosong kepada ruang kerja yang berkembang maju dan fleksibel.
Kewujudan ruang kerja bersama bukan sahaja menjanjikan sinar buat pasaran hartanah dalam jangka masa pendek, bahkan turut menyediakan penyelesaian jangka panjang.
Kesan Pindahan (Knock-on) Jangka Panjang
Dalam jangka masa panjang, ruang kerja bersama boleh mempengaruhi dan memberi manfaat kepada pasaran secara keseluruhannya.
Ruang kerja bersama yang berjaya telah mengenalkan ribuan perniagaan dan pengusaha kepada konsep ruang kerja – seterusnya membiasakan mereka dengan perjalanan ke sana, kawasan sekitarnya, kemudahan-kemudahan yang tersedia dan banyak lagi. Hal ini boleh dilihat sebagai sejenis tempoh percubaan yang mendorong kepada peluang unik jangka masa panjang dalam menukarkan para pengguna ruang kerja bersama ini kepada prospek yang berpotensi untuk menyewa ruang mereka sendiri di dalam bangunan tersebut atau kawasan sekitarnya.
Kesan pindahan (knock-on) fenomena ruang kerja bersama tidak terhad kepada itu sahaja. Dengan peningkatan trafik pelanggan di sesebuah lokasi melalui para pengguna ruang kerja bersama, potensi untuk menukarkan sebuah lokasi yang tidak popular kepada sebuah lokasi sibuk juga menjadi tinggi. Kehadiran orang ramai akan mendorong pemilik hartanah untuk menyewakan lebih banyak ruang di kawasan tersebut untuk dijadikan tempat makan, kedai serbaneka, gimnasium dan sebagainya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Hal ini akan meningkatkan nilai dan permintaan untuk hartanah, dan mengisi ruang pejabat dan lot kedai yang kosong.
Syarikat Memacu Trend Ruang Kerja Bersama
Satu lagi trend terbaharu yang kami perhatikan di pasaran adalah pendudukan jangka masa panjang oleh perusahaan dan syarikat-syarikat tersenarai awam di ruang kerja bersama. Berdasarkan pengalaman peribadi saya, permintaan untuk ruang kerja bersama daripada perusahaan dan syarikat-syarikat tersenarai awam meningkat sebanyak 83 peratus tahun lepas. Hal ini merupakan berita baik untuk pasaran hartanah serta isu kekosongan bangunan.
Dengan peningkatan pelaksanaan model kerja hibrid, di masa hadapan, kerja-kerja pejabat akan menjadi lebih tangkas dan fleksibel. Kami membayangkan masa hadapan di mana syarikat-syarikat melanggan dan menyewa beberapa cawangan ruang kerja bersama di lokasi berbeza bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang sentiasa bergerak, membolehkan pekerja mereka bekerja daripada mana-mana sahaja di dalam bandar atau negara.
Bagi kebanyakan perusahaan, faedah menyewa di ruang kerja bersama adalah jelas. Kos sewa kebanyakan ruang kerja bersama adalah fleksibel dan memerlukan deposit yang lebih rendah. Ruang kerja bersama secara amnya turut membantu syarikat mengurangkan perbelanjaan modal seperti penyelenggaraan pejabat, dan utiliti juga biasanya tersedia.
Hal ini memberi peluang untuk ruang kerja bersama berkembang dengan lebih besar, seterusnya mendorong kepada peningkatan penggunaan ruangan yang dahulunya kosong. Syarikat-syarikat yang menyewa di ruang kerja bersama juga mungkin bertukar menjadi penyewa tetap dalam bangunan, yang turut mendorong kepada penggunaan ruang-ruang yang tidak digunakan ini.
Kesimpulannya, terdapat banyak manfaat ruang kerja bersama yang sering kita terlepas pandang, terutamanya berkenaan dengan kebolehan ia menyelesaikan isu-isu mendesak berkaitan hartanah. Saya harap ini dapat memberi penjelasan dan menggalakkan lagi kerjasama dan sinergi antara pengendali ruang-ruang kerja bersama serta pihak pengurusan bangunan dan pemilik hartanah untuk mengembangkan lagi pasaran dan menyelesaikan masalah kadar kepenghunian yang berpanjangan ini.
PENULIS adalah Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, INFINITY8. – UTUSAN










