PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras pinjaman tempatan pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
Jangkaan itu berikutan kenaikan kadar faedah 0.5 peratus oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bagi membendung gelombang peningkatan inflasi.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, BNM sentiasa menyelia kadar OPR untuk disesuaikan terutamanya di pasaran modal dan pasaran wang.
“Sekiranya kenaikan 0.50 peratus oleh AS memberikan impak yang tinggi kepada pasaran dana Malaysia, maka BNM akan menaikkan kadar OPR untuk menarik pengurus dana mengekalkan pelaburan mereka di Malaysia. Itu dapat mengurangkan aliran keluar tunai dari pasaran modal negara.
“Saya menjangkakan keputusan BNM untuk menaikkan OPR akan berlaku pada suku ketiga atau keempat tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, kenaikan itu akan membantu mengurangkan inflasi negara. Namun, kepada individu yang membuat pinjaman kadar terapung, ia akan mengurangkan kuasa beli mereka apabila perlu membayar lebih untuk bayaran pinjaman setiap bulan.
Justeru katanya, pinjaman baharu bagi pembelian rumah, kereta, motor dan perniagaan akan berkurangan kerana kadar faedah yang lebih tinggi daripada sekarang.
Aimi Zulhazmi memberitahu, ia juga akan merencatkan pemulihan domestik yang disasarkan oleh kerajaan terutamanya untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.0 hingga 6.0 peratus untuk tahun ini.
Katanya, pihak kerajaan perlu pandai mengimbangkan antara menjana pemulihan ekonomi dan menarik dana asing semula, akibat kesan dari tindakan Fed AS.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan kadar faedah itu juga dilihat akan memberikan kesan berganda kepada ekonomi global.
“Tindakan AS untuk menangani kenaikan inflasi yang tinggi adalah dengan menaikkan kadar faedah simpanan bagi menarik lebihan tunai dalam kitaran untuk didepositkan semula dalam pasaran modal.
“Kenaikan faedah itu menarik aliran tunai ke AS termasuk dari pengurus dana di seluruh dunia, menyebabkan aliran dana keluar dari pelbagai negara termasuk Malaysia.
“Ia akan memberi kesan kepada pasaran modal termasuk pasaran saham, menyebabkan penjualan saham di pasaran ekuiti dan kedua, pasaran mata wang, di mana penjualan mata wang ringgit untuk mendapat dollar AS menyebabkan kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dollar AS.
“Bagi memastikan nilai ringgit tidak terus jatuh atau naik mendadak, BNM perlu menyelia dan mensterilisasi pasaran mata wang dari masa ke semasa untuk menstabilkan ringgit berbanding dolar AS dan mata wang utama yang lain,” katanya.
Selain itu,ujarnya, kejatuhan nilai ringgit juga menyebabkan import menjadi lebih mahal untuk Malaysia memenuhi keperluannya terutama untuk mengimport makanan berjumlah RM55 bilion setahun. Itu akan menyebabkan kenaikan harga barangan makanan di seluruh negara.
“Ia sememangnya bukan satu tugas yang mudah dan memerlukan penglibatan dan komitmen semua pihak termasuk rakyat, perusahaan mikro kecil dan sederhana, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta syarikat multinasional.
“Ia boleh dicapai dgn mempunyai pelan pemulihan negara yang menyeluruh dari segi ekonomi dan sosiopolitik,” katanya. – UTUSAN










