PETALING JAYA: Uniqbe (M) Sdn. Bhd. (Uniqbe), pengedar tunggal Dreame di Malaysia, berjaya mengumpul lebih RM77,000 melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), kolaborasi bersama Make-A-Wish Malaysia.
Uniqbe telah memperuntukkan 11 peratus hasil jualan rangkaian pembersih vakum H11 wet & dry untuk dana CSR bersempena dengan pelancaran Dreame di Malaysia hujung tahun lepas.
Melalui Make-A-Wish Malaysia, dana yang dikumpul digunakan untuk memenuhi impian kanak-kanak yang menghidapi penyakit kritikal.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Uniqbe Group, Edward Tan berkata, pengumpulan dana Make-A-Wish Malaysia tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada para pelanggan.
“Oleh itu, kami ingin berterima kasih kepada semua pelanggan yang telah membeli pembersih vakum H11 dan H11 Max wet & dry dan sekali gus menyokong inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan.
Jelas syarikat itu, setakat ini Uniqbe telah berjaya memenuhi impian empat kanak-kanak iaitu Azhah, 11, dari Sandakan, Sabah yang mendapat telefon bimbit Realme; Fikri, 9, dari Serdang, Selangor menerima satu set permainan Playstation; Mun Hei, 11, dari Klang, Selangor mendapat sebuah iPad dan May Chell, 13, dari Keningau, Sabah, mendapat sepasang arnab kelabu dan satu set permainan bola jaring.
Semua impian yang dipenuhi telah dirancang dengan teliti oleh pasukan Uniqbe dengan acara dan aktiviti menjelang hari penunaian hajat.
Menurut Make-A-Wish Malaysia, sumbangan dan impian kanak-kanak yang terlaksana ini turut memberi semangat kepada ahli keluarga mereka untuk terus kuat bersama melawan penyakit yang dihidapi.
Uniqbe Malaysia merupakan sebahagian daripada Uniqbe Limited yang sedang pesat berkembang, adalah syarikat pemborong, peruncit dan pengedar antarabangsa di Hong Kong, Sepanyol, Indonesia dan Malaysia.
Ditubuhkan pada 2007, Uniqbe membina rangkaian pengedar yang luas di lebih 30 negara serata dunia meliputi Asia, United Kingdom (UK) & Ireland, Eropah, Ocenia dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Dreame Technology yang ditubuhkan pada 2015 merupakan syarikat inovatif dengan visi untuk
meningkatkan kualiti hidup pengguna sejagat.
Syarikat ini menumpukan kepada perkakas pembersihan bermutu tinggi dengan memanfaatkan teknologi astrodinamik. Pada penghujung 2017, Dreame menyertai Xiaomi Ecological Chain sebagai penggerak dan syarikat peneraju dalam
perkakas pintar pembersihan rumah. – UTUSAN









