Kepentingan dalam ladang angin pesisir pantai di United Kingdom (UK)

TNB selesai ambil alih kepentingan di UK

PEMEROLEHAN itu menandakan penyertaan sulung TNB dalam pasaran ladang angin luar pesisir. - GAMBAR/TNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vantage RE Ltd. (Vantage RE), syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyelesaikan pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam ladang angin pesisir pantai di United Kingdom (UK) berkapasiti 97.3 megawatt (MW).

Ia melibatkan beberapa dana daripada firma pengurusan aset global bebas yang juga antara peneraju pelabur tenaga bersih dunia, Capital Dynamics dengan pertimbangan berjumlah 145.9 juta pound (RM808.02 juta).

Pengambilalihan itu adalah susulan langkah sulung memasuki pasaran angin luar pesisir di UK pada Oktober lalu, menandakan satu lagi pencapaian penting strategi TNB untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu (RE) globalnya, sambil mengukuhkan kewujudannya dalam pasaran tumpuan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemerolehan itu menandakan kejayaan berterusan TNB dalam pelaksanaan strateginya untuk mengembangkan portfolio di pasaran tumpuan kami seperti UK dan Eropah, sambil mempercepatkan perjalanan memenuhi visi global Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Kami berkeyakinan penuh terhadap tanggungjawab semula jadi ke arah dunia yang lebih baik dan kehidupan yang lebih sejahtera berlandaskan aspirasi TNB menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Hala Tuju Kelestarian TNB ini didukung oleh komitmen kami untuk mengurangkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Baharin, pemerolehan strategik aset operasi tambahan itu yang disokong oleh skim subsidi akan membolehkan TNB mendapat manfaat sepenuhnya daripada kestabilan pulangan dan membina daya tahan kewangan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang diburukkan oleh Covid-19.

Di samping itu, katanya, ia akan menggerakkan TNB selangkah lagi dalam peralihan tenaga ke arah penjanaan tenaga boleh baharu masa depan, yang rendah karbon selaras dengan Hala Tuju Kelestarian TNB dan visi ESG keseluruhannya.

Portfolio terbaru itu merangkumi ladang angin daratan yang beroperasi di 11 tapak di UK, dibangunkan di bawah skim subsidi Sijil Kewajipan Boleh Diperbaharui (ROC) dan Feed-in Tariff (FiT), yang dijangka memberikan pulangan stabil dalam jangka panjang.

Selepas proses pengambilalihan itu selesai, Vantage RE bakal meningkatkan kapasiti REnya sebanyak 23 peratus daripada 433MW kepada 530MW.

Malah, penambahan kapasiti angin daratan ini mempelbagaikan kombinasi teknologi RE Vantage RE yang turut meningkatkan keseimbangan profil portfolio penjanaan tenaga elektriknya sepanjang tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×