PETALING JAYA: Kerajaan melancarkan inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) bagi memastikan setiap Keluarga Malaysia daripada kumpulan B40 dan M40 mendapat akses kepada pembiayaan perumahan dengan lebih mudah.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
i-Biaya juga merupakan satu daripada komponen di bawah Home Ownership Programme (HOPE) yang memfokuskan kepada ekosistem perumahan secara menyeluruh, termasuk aspek penyediaan dan dasar-dasar lain berkenaan perumahan.
Ia menawarkan tiga skim pembiayaan iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan yang ditawarkan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Berhad dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas SRP Berhad (Cagamas) dan Skim PR1MA Rent to Own oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA RTO).
Menurut Reezal Merican, pelancaran i-Biaya memberi makna yang besar khususnya bagi memastikan agenda pemilikan perumahan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diperkukuhkan dalam satu pendekatan yang lebih tersusun.
“SJKP dan SRP menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 110 peratus daripada bank-bank yang terlibat kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan M40 dan B40 termasuk golongan belia, kumpulan industri ekonomi gig, kumpulan berpendapatan rendah dan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Skim ini juga menjawab keresahan bagi mereka yang tiada slip pendapatan tetap mahupun tidak mempunyai simpanan untuk membayar deposit.
“Pendek kata, melalui jaminan oleh SJKP dan SRP, insyaAllah semua kesukaran ini dimudahkan. Skim–skim ini boleh dimohon melalui institusi kewangan yang menyertai SJKP dan SRP,” katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran i-Biaya disini, semalam.
Tambah beliau, PR1MA kini juga menawarkan satu skim istimewa iaitu Sewa Untuk Miliki (RTO) bersama Malayan Banking Berhad (Maybank).
Jelasnya, skim itu khusus bagi pembelian kediaman di bawah PR1MA dengan kadar sewaan yang berpatutan selama lima tahun dan pembelian kediaman tersebut pada harga asal lima tahun sebelumnya.
Reezal Merican berkata, ia sekali gus memberi ruang kepada Keluarga Malaysia khususnya golongan berpendapatan menengah (M40) untuk memiliki rumah idaman dengan kemudahan skim pemilikan perumahan yang lebih fleksibel.
Sementara itu, Tengku Zafrul memberitahu, sejak SRP dilancarkan sehinggalah Februari lalu, hampir 67,000 isi rumah berjaya memiliki rumah idaman pertama mereka.
Ujarnya, SRP telah membantu mereka dengan nilai pembiayaan berjumlah RM14.8 billion, di mana lebih 90 peratus terdiri daripada golongan B40, manakala dari segi umur, 92 peratus adalah golongan berumur 35 tahun dan ke bawah.
“Turut menyumbang kepada kejayaan ini termasuk penglibatan 26 bank dalam SRP. Tahun ini, SRP dijangka akan memanfaatkan 25,000 pemohon dalam kalangan B40 dan M40, dengan anggaran nilai pembiayaan sebanyak RM5.9 bilion.
“Saya berharap, supaya i-Biaya, terutamanya inisiatif SRP dapat diperluaskan lagi kepada golongan muda, pekerja gig dan golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.
Antara 26 bank yang terlibat dalam SRP adalah Affin Bank Berhad, Affin Islamic Bank Berhad, Alliance Islamic Bank Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, Ambank (M) Berhad, Ambank Islamic Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank of China (Malaysia) Berhad, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Maybank Islamic Berhad, MBSB Bank Berhad, OCBC Bank (Malaysia) Berhad, Public Bank Berhad, Public Islamic Bank Berhad, OCBC Al-Amin Bank Berhad, OCBC Bank (Malaysia Berhad), Public Bank Berhad, Public Islamic Bank Berhad, RHB Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, Standard Chartered Sadiq Berhad, United Overseas Bank (Malaysia) Berhad dan Standard Chartered Bank (M) Berhad. – UTUSAN










