PETALING JAYA: Malaysia merekodkan prestasi dagangan yang kukuh pada Mac lalu dengan pertumbuhan 27.3 peratus tahun ke tahun untuk mencapai nilai tertinggi baharu berjumlah RM236.6 bilion.
Malah lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai eksport dan import negara pada Mac sekali lagi memecahkan rekod tertinggi baharu, masing-masing berjumlah RM131.6 bilion dan RM104.9 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, import Malaysia buat kali pertama melepasi paras RM100 bilion, sejajar dengan lonjakan bagi barangan perantaan menandakan aktiviti ekonomi domestik yang lebih baik.
“Lebihan dagangan meningkat 10.3 peratus daripada RM24.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM26.7 bilion, merupakan lebihan dagangan bulan ke-23 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya dalam kenyataan merujuk laporan Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negara Mac 2022, semalam.
Mohd. Uzir berkata, eksport Malaysia meningkat 25.4 peratus daripada RM105.0 bilion kepada RM131.6 bilion, melepasi paras RM100 bilion untuk bulan ke-7 berturut-turut sejak September 2021, disokong oleh eksport domestik dan eksport semula.
Jelas beliau, eksport domestik bernilai RM106.9 bilion menyumbang 81.2 peratus kepada jumlah eksport, meningkat kukuh 22.8 peratus tahun ke tahun. Sementara itu, eksport semula berjumlah RM24.7 bilion berkembang 38.0 peratus berbanding Mac 2021.
Katanya, seiring dengan prestasi eksport, import juga mencatatkan pertumbuhan kukuh 29.9 peratus daripada RM80.8 bilion kepada RM104.9 bilion.
“Berbanding Februari 2022, prestasi jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan menunjukkan peningkatan masing-masing 28.1 peratus, 28.7 peratus, 27.3 peratus dan 34.8 peratus,” katanya.
Mohd. Uzir memberitahu, pertumbuhan tahunan yang sangat ketara dalam eksport digambarkan melalui 166 daripada 255 kumpulan barangan menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dipacu oleh injap & tiub termionik, manakala bagi import, 186 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.
Kata beliau, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM5.1 bilion), diikuti Jepun (+RM2.1 bilion), Korea (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.8 bilion), China (+RM1.7 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Thailand (+RM1.4 bilion), Indonesia (+RM1.4 bilion) dan Amerika Syarikat (+RM1.3 bilion).
Sementara itu, China katanya, kembali menjadi penyumbang utama kepada peningkatan import, meningkat RM3.4 bilion, diikuti Arab Saudi (+RM2.9 bilion), Taiwan (+RM2.8 bilion), Indonesia (+RM2.5 bilion), Singapura (+RM2.3 bilion), AS (+RM1.4 bilion) dan Thailand (+RM1.2 bilion).
“Peningkatan eksport didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM13.0 bilion); keluaran petroleum (+RM4.6 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM3.1 bilion); gas asli cecair (+RM2.5 bilion); petroleum mentah (+RM1.6 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.1 bilion),” katanya. – UTUSAN










