PETALING JAYA: Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) baru-baru ini dianugerahkan dengan kontrak pemantauan Covid-19 oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), bahagian penyelidikan bioperubatan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Malaysian Genomics adalah satu daripada makmal swasta yang digunakan oleh IMR sebagai penyumberan luar bagi pemantauan genom SARS-CoV2.
Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Datuk Alvin Nesakumar berkata, Kumpulan berbangga dapat menyokong IMR dan KKM dalam usaha penting bagi memantau evolusi virus Covid-19, varian dan sub variannya.
“Dengan kepakaran dan pengetahuan kami dalam bidang genom dan bioinformatik, kami akan dapat membantu IMR menjejak dan mengesan virus dan apa-apa varian yang dibimbangi yang perlu kerajaan ketahui, sebagai persediaan,” katanya dalam kenyataan.
Malaysian Genomics, yang makmal selnya adalah milik persendirian dengan kemudahan BioSafety Level 2 (BSL-2) di Malaysia dengan pensijilan Current Good Manufacturing Practice (cGMP), sedang bersedia menjadi penyedia penjagaan kesihatan utama melalui pengeluaran sel CAR T bagi imunoterapi kanser pepejal, serta perkhidmatan kejuruteraan sel lain.
Jelas syarikat itu, pensijilan BSL-2 dan cGMP menunjukkan bahawa kemudahan makmal berkenaan menggunakan kaedah ketat bagi standard pengurungan bio dan persekitaran makmal ultra tulen bagi melakukan kerja-kerja ke atas sel manusia dengan selamat.
Kumpulan itu juga menerima pensijilan ISO 9001:2015, ISO 15189:2014 dan ISO 17025:2017 di bawah Sistem Pengurusan Bersepadu.
Malaysian Genomics adalah syarikat peneraju genom dan biofarmaseutikal berpangkalan di Asia Tenggara. Kumpulan itu ditubuhkan pada 2004 dan disenarai di Bursa Malaysia pada 2010.
Daripada kerja-kerja perintis di dalam penjujukan genom, analisis bioinformatik, dan perkhidmatan pengimbasan genetik, MGRC telah berkembang ke dalam sektor biofarmaseutikal dengan pembuatan terapi sel termasuk imunoterapi bagi pelbagai jenis kanser. – UTUSAN










