PETALING JAYA: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah (PPZ-MAIWP) menyeru semua umat Islam untuk menyegerakan kewajipan menunaikan zakat bagi meraih ganjaran pahala berganda sempena 10 Ramadan terakhir di samping membantu dalam kelangsungan hidup asnaf serta kegembiraan buat mereka bagi meraikan Aidilfitri.
Justeru, bagi memberi ruang dan kesempatan kepada umat Islam menunaikan zakat, sebanyak 10 kaunter zakat PPZ-MAIWP beroperasi seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad sehingga hari terakhir Ramadan.
PPZ-MAIWP dalam kenyataan memaklumkan, bagi mereka yang masih belum berkesempatan untuk menunaikan zakat harta dan fitrah boleh melakukan sedemikian di mana-mana kaunter zakat di sekitar Wilayah Persekutuan.
“Waktu operasi kaunter PPZ-MAIWP adalah pada pukul 8.15 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali Jumaat, manakala waktu operasi pada hari Jumaat adalah pada pukul 8.15 pagi hingga 12.30 tengah hari dan pada pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang.
“Hari terakhir Ramadan pula kaunter akan beroperasi pada pukul 8.15 pagi hingga 1 petang,” menurut kenyataan itu.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke kaunter, bayaran zakat juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan www.zakat.com.my (zakat harta) dan fitrah.zakat.com.my (zakat fitrah).
Pembayaran zakat melalui saluran-saluran berikut dalam tempoh 3 Ramadan terakhir ini juga berpeluang untuk memenangi hadiah Pakej Umrah dan Percutian sempena Kempen Ramadan Penuh Makna. – UTUSAN