Agihan pendapatan interim dana AHB 2.50 seunit

Agihan pendapatan interim AHB 2.50 sen

MAHMUD FAUZI MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan interim dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2022.

Jumlah itu hasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.15 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.35 sen seunit.

Jumlah bonus yang diberikan adalah sumbangan PHB selaku penaja dana AHB dan bakal diagihkan untuk 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, kadar 2.50 sen seunit yang diagihkan untuk interim tahun ini adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 2.35 sen seunit yang dibayar pada April 2021.

“Ini menunjukkan refleksi trend yang positif terhadap AHB. Tahun ini, PHB bercadang untuk menambah sebanyak satu bilion unit baharu ke dalam AHB.

“Pada 2021, PHB telah selesai menyempurnakan pembelian tiga bangunan baharu yang bernilai kira-kira RM1.33 bilion. Bangunan-bangunan ini terdiri daripada sebuah hospital swasta, sebuah bangunan pejabat di ibu negara dan sebuah kolej swasta yang terletak di Johor.

“Kini, PHB telah memiliki sebanyak 24 buah bangunan dan kami sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah tersebut dengan pemilikan bangunan perubatan, bangunan logistik perindustrian dan kategori aset hartanah yang baharu iaitu pusat data,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmed Muzni Mohamed berkata, seperti yang telah diumumkan pada Oktober 2021, pihaknya kini bersedia melaksanakan skim pelaburan semula pengagihan pendapatan khusus untuk pemegang unit runcit dengan agihan pendapatan yang diperoleh boleh dilaburkan semula sama ada sebahagian ataupun keseluruhan unit.

“Bagi agihan pendapatan interim ini, pemegang unit runcit dengan baki bulanan minima 10,000 unit atau kurang dan pemegang unit institusi akan menerima agihan pendapatan secara tunai.

“Sementara itu, pemegang unit runcit yang mempunyai lebih 10,000 unit akan menikmati agihan pendapatan dalam bentuk unit AHB.

“AHB membenarkan pengeluaran dan penebusan segera buat para pelabur yang menerima agihan pendapatan dalam unit AHB dan para pelabur boleh menukar unit tersebut kepada tunai di cawangan bank berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN