
Namanya cukup dikenali oleh para peminat motosikal yang cintakan kelajuan. Suzuki Hayabusa yang hampir setiap tahun berebut takhta sebagai motosikal produksi terpantas dunia, kini menampilkan versi ke-3 untuk pasaran tempatan.
Nama Hayabusa adalah sebenarnya diambil daripada sejenis burung helang yang banyak didapati di merata dunia. Burung itu bukan sahaja memberi inspirasi kepada Suzuki sebagai seekor burung pemangsa, ia dijadikan ikon bagi motosikal ini kerana ia mampu berburu di atas awangan sepantas 300kmj!!!! Begitu juga dengan posisi pemburuannya yang begitu aerodinamik, turut dijadikan inspirasi terhadap pembikinan jentera Suzuki Hayabusa 1,300cc ini.
PENAMPILAN JENTERA
Versi ketiga ini, pada pandangan mata kasar, tidak banyak berubah daripada dua versi sebelumnya. Namun begitu, perubahan dan peningkatan teknologi terutama dari segi pengurusan elektronik enjin harus dikemaskini dan sekali gus bersiap sedia untuk sebarang percubaan daripada Honda dan Kawasaki dalam usaha menjulang gelaran motosikal produksi terpantas dunia.
Enjin 4 silinder selari yang menyasarkan 1,340cc serta kuasa penghasilan sebanyak 190PS pada tahap 9,700 rpm dan kuasa tork sebanyak 150Nm pada tahap 7000 rpm memberi tanggapan bahawa jentera besar ini sememangnya mempunyai ‘kelajuan’ di celah-celah casisnya. Tangki bahan apinya berkapasiti 20 liter, namun, saya dapati, penggunaannya agak kuat, walaupun saya tidak ‘menggunakan’ kebolehan enjin ini pada kebolehan sepenuhnya.
Hayabusa ini juga berada dalam berat sebanyak 266 kilogram (kg.) dengan pembahagian atau distribusi berat motosikal secara sama rata di hadapan dan belakang. Bersesuaian dengan kebolehan jentera ini memecut selaju burung Hayabusa tersebut, ia dilengkapi dengan sistem brek oleh Brembo dan suspensi jenis terbalik untuk suspensi hadapan dan sistem penyerap hentakan tunggal di belakang.

PENUNGGANGAN
Angka-angka yang dipamerkan di atas kesemuanya tidak bermakna jika ia tidak dirasai sendiri oleh penunggang. Apabila anda duduk di atas pelana, kedudukannya tidak terlalu rendah, serta agak stabil apabila meletakkan kedua-dua kaki atas permukaan jalan. Di saat mencapai dan menggenggam kedua-dua handle motor, ia memberi sedikit posisi menunduk seperti sebuah motor sport, tapi tidak terlalu ekstrim sehingga menyebabkan pergelangan tangan jadi terbeban akibat menanggung berat bahagian badan sebelah atas. Begitu juga dengan pemijak kaki, ia tidak tinggi sehinggakan terasa kaki terlipat dan tidak selesa. Melainkan anda seorang pelumba motogp, di mana setiap selekoh perlu mencecah siku, pemijak kaki ini tidak menimbulkan sebarang masalah ketika pengambilan selekoh.
Bagi anda yang mengagak (dengan hanya melihat ukurannya secara fizikal), Hayabusasebuah motosikal yang berat untuk dikemudi. Sebenarnya ia tidaklah jauh beza daripada mana-mana motosikal berkapasiti tinggi yang lain, tetapi saya amat sedar tentang jarak antara roda hadapan dan belakangnya yang agak jauh. Mungkin atas fakta ini, penunggang akan sedikit merasa Hayabusa ini agak berat untuk ditolak dengan kaki terutama ketika ingin mengundurkan jentera ini keluar daripada parkir atau dari kedudukan statik.
Kusyen yang lebar, menjanjikan penunggang dan pembonceng tidak mengalami sengal-sengal punggung, sekurang-kurangnya untuk sejam dua perjalanan. Ketika enjin dihidupkan, bunyi enjin 4 silinder begitu mengujakan dan corong-corang ekzos standard Hayabusa nampaknya tidaklah terlalu merdu seolah-olah sebuah mesin jahit!
Penunggangan dari gear satu ke gear lima agak menggusarkan kerana anda tahu kebolehan jentera ini untuk mencapai kelajuan atas jalan raya yang belum pernah anda capai sebelum ini. Seperti kebanyakan motosikal keluaran 2020 ke atas, kebolehan untuk menukar gear tanpa perlu menarik tuas klac atau menutup pendikit sudah menjadi perkara biasa. Jentera Hayabusa ini membuatkan anda menjangkakan yang anda tidak akan mampu mengendalikan kuasa hebat ini, namun apabila masuk gear ke 6, tiba-tiba enjin tidak lagi kedengaran dan hanya bunyi angin yang mendesir di helmet. Segalanya seperti dalam keadaan slow motion dan anda seolah-olah tenang dan tiada satu pun tanda bahawa anda sedang duduk di atas sebuah “peluru berpandu”.

Namun, sebagai penunggang berpengalaman, saya tetap juga menjengah ke meter kelajuan Hayabusa ini dan terkejut bahawa saya sudah mencapai kelajuan 170 kmj dengan jangka masa yang tak sampai seminit. Ketika ini saya terpaksa kembali ke bumi yang nyata dan mula terperasan akan ada kenderaan lain yang jauh lebih besar daripada saya berada di atas lebuh raya yang sama.
Saya mencuba juga menunggang Hayabusa ini di laluan jalan raya biasa untuk merasai sendiri sama ada saiz dan jarak antara roda ini menimbulkan masalah ketika melalui jalan-jalan raya biasa. Hasil daripada ujian, menunggang di selekoh-selekoh pendek dengan kelajuan yang sederhana tinggi bakal menyebabkan Hayabusa ini menggunakan setiap inci ruang jalannya untuk melalui selekoh ini dengan selamat tanpa ‘makan jalan’ orang. Menunggang di ruang yang sempit dan sesak, Hayabusa ini bakal ‘luka’ dan ‘cedera’ apabila ekzosnya yang besar dan berkembar turut menimbulkan kesukaran untuk “mencilok” ketika melalui jalan raya sesak.
KESIMPULAN
Semua pencinta motosikal tahu, Hayabusa bukan untuk anda tunggang masuk ke bandar raya sesak. Semua tahu ia dibina untuk lebuh raya, jarak jauh dan kelajuan. Saiz yang besar tetapi konsentrasi terhadap bentuk aerodinamik, kestabilan dan kekuatan enjin adalah permainan utama Hayabusa ini. Versi ke-3 ini dijual pada harga lebih kurang RM111,200 tanpa cukai jalan dan pendaftaran, meletakkan Hayabusa berada di tahap jentera kayangan yang menjanjikan kelajuan dan adrenalin.
Memenangi takhta Raja itu mudah, mempertahankannya adalah cabaran yang sebenar.

SPESIFIKASI
Spesifikasi Suzuki Hayabusa
Enjin Jenis : 4-lejang, 4-silinder, sejukan cecair, DOHC
Gerek x lejang : 81.0 mm x 65.0 mm
Sesaran kuasa : 1340 cm3 (81.8 cu. in)
Nisbah mampatan : 12.5:1
Sistem bahan api : Suntikan
Sistem penalaan : Elektronik
Starter : Elektrik
Transmisi : 6 kelajuan
Dimensi P x L x T : 2190 x 735 x 1165 mm
Jarak Roda : 1480 mm
Ketinggian : 120 mm
Berat : 266 kg
Kapasiti bahan api : 21.0 L
Suspensi Depan : terbalik
Suspensi Belakang : Link type, coil spring
Ukuran tayar hadapan : 120/70ZR1M/C (58W), tubeless
Ukuran tayar Belakang : 190/50ZR17M/C (73W), tubeless – UTUSAN










