PETALING JAYA: Pasaran saham dan mata wang dijangka terus `meruap’ berikutan perkembangan peperangan antara Ukraine dan Rusia yang masih berterusan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah Brent yang kekal tinggi sekitar AS$111 (RM466.20) setong memberi gambaran bahawa inflasi dijangka menjadi isu utama pada tahun ini.
“Selain itu, faktor kenaikan kadar faedah di negara-negara maju juga akan terus memberi kesan kepada pasaran saham berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang bakal menaikkan kadar faedah sehingga 2.0 peratus tahun ini.
“Justeru, pergerakan harga saham global dan matawang asing agak tidak menentu. Saya menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar sekitar 1,580 mata hingga 1,590 mata.
“Manakala, nilai ringgit berbanding dolar AS dijangka beredar sekitar RM4.19 hingga RM4.20 pada minggu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setakat 5 petang semalam, penanda aras FBM KLCI menurun 1.35 mata kepada 1,585.81 mata dengan urus niaga sebanyak 3.090 bilion bernilai RM2.843 bilion.
Lingkungan pasaran keseluruhan bagaimanapun adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 504 berbanding 402, manakala 439 kaunter tidak berubah dan 967 kaunter lagi tidak didagangkan. – UTUSAN










