BNM kekal Kadar OPR pada 1.75 peratus.

OPR kekal pada 1.75 peratus

BNM arah dua bank alami gangguan perkhidmatan beri penjelasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Bank pusat itu berkata, kese­luruhan trajektori pemulihan kekal berada di landasannya meskipun aktiviti ekonomi yang sederhana sedikit baru-baru ini disebabkan oleh penularan semula COVID-19 yang didorong oleh varian Omicron.

Jelas BNM, Inflasi kekal tinggi dalam banyak ekonomi disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan. Pada masa hadapan, lebih banyak negara akan beralih kepada pengurusan Covid-19 secara endemik, lantas menyokong prospek pertumbuhan global.

“Walau bagaimanapun, konflik ketenteraan di Ukraine telah muncul sebagai risiko utama terhadap prospek pertumbuhan global dan perdagangan, harga komoditi dan keadaan pasaran kewangan.

“Prospek pertumbuhan glo­bal juga akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung Covid-19, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari oleh ekonomi utama,” menurut BNM dalam kenyataan.

Walaupun dengan persekitaran yang mencabar, ekonomi Malaysia berkembang seba­nyak 3.1 peratus pada 2021 dan pemulihan pertumbuhan akan menjadi lebih kukuh tahun ini, dipacu pengembangan permin­taan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

Menurut BNM, keadaan itu berikutan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar bersasar yang berterusan dan jangkaan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Katanya, kesan terhadap eko­nomi akibat peningkatan kes Covid-19 semasa disebabkan varian Omicron dijangka kurang teruk berbanding dengan ge­lombang sebelum ini berikutan tiada sekatan yang ketat.

“Prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan domestik termasuk pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, ke­tegangan geopolitik yang berte­rusan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan perkembangan berhubung Covid-19.

“Inflasi keseluruhan 2022 diunjur kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api semakin luput. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kembali ke paras wajar kepada sekitar purata jangka panjangnya apabila kegiatan ekonomi terus mening­kat dalam keadaan persekitaran kos yang tinggi.

“Bagaimanapun, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi yang lebih tinggi dapat dibendung sebahagiannya oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja,” ujarnya.

Tambah kenyataan, prospek inflasi terus dipengaruhi perkembangan harga komoditi global berikutan risiko gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

Justeru, MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

“Langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi. Dalam keadaan semasa yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN