Jasad mangsa berkecai

Jasad mangsa berkecai

PASUKAN penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak dalam usaha mengenal pasti mangsa.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada jasad sempurna ditemukan dalam nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak, sebaliknya pasukan penyelamat hanya menemukan cebisan dipercayai sisa tubuh lima mangsa di lokasi kejadian. 

Penemuan itu menambah ke­sedihan tragedi berkenaan apa­bila usaha mengenal pasti iden­titi mangsa kini bergantung kepa­da ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Keadaan tersebut menyebabkan keluarga mangsa perlu menyerahkan barangan peribadi yang mempunyai kaitan dengan mereka untuk dijadikan sampel perbandingan DNA bagi membantu proses pengecaman dan pengesahan identiti.

Namun sehingga kini Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) masih menjalankan siasatan dan belum mengenal pasti punca kejadian. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mayat ditemukan dalam keadaan tidak sempurna selepas pihaknya melakukan operasi pencarian mangsa yang terdiri seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan.

Katanya, kesemua cebisan yang dikumpulkan telah dibawa ke Hospital Miri, Sarawak untuk proses pengesahan DNA.

“Semua ditemukan rentung dan hanya cebisan tubuh pada di lokasi pesawat terhempas. Oleh itu proses DNA diperlukan untuk mengenalpasti identiti mangsa.

“Saya sahkan semua mangsa terbakar hangus. Cebisan badan mangsa diterbangkan dari lokasi kejadian ke Miri,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, sebuah helikopter jenis BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF yang membawa seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan terhempas berhampiran penghujung landasan Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek Long Lellang, kira-kira pukul 3.40 petang. 

Helikopter dikendalikan Layang-Layang Aerospace Sdn. Bhd. itu sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat. 

Helikopter berkenaan dilaporkan terhempas di penghujung landasan sebelum terbakar dengan penduduk kampung serta pekerja lapangan terbang bertindak membantu memadamkan kebakaran sebelum kawasan kejadian dikawal bagi memelihara lokasi nahas. 

Lima mangsa yang berada dalam helikopter berkenaan ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq; pegawai perubatan, Dr. Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya. 

Kejadian berlaku ketika petugas kesihatan terbabit dalam perjalanan menemui pesakit di kawasan pedalaman selepas berjanji untuk mendapatkan rawatan mereka. 

Dalam pada itu, bapa saudara Dr. Ainul Baroah, Mohd. Sapri Salleh, 65, berkata, dia membantu mencari barangan berkenaan di dalam bilik anak saudara di rumah keluarga di Kampung Baung, Kota Bharu selepas menerima panggilan daripada pihak berkuasa kira-kira pukul 10 malam.

Katanya, pihak berkuasa meminta keluarga membawa barangan peribadi anak saudaranya itu ke Sarawak untuk dijadikan sampel DNA bagi membantu proses pengesanan jenazah mangsa.

“Sekejap sahaja mencari kesemua barangan itu kerana ia memang ada di dalam bilik. Kira-kira pukul 10.30 malam tadi, ayah mangsa dan keluarga terus bergerak ke rumah besannya di Bangi, Selangor sebelum ke Sarawak.

“Ainul Baroah dan suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik pulang ke kampung selama seminggu ketika cuti sekolah minggu lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, kemungkinan mangsa tercampak keluar ketika kejadian adalah rendah berdasarkan pemerhatian awal terhadap keadaan helikopter.

Namun katanya, SAR dilaksanakan dalam lingkungan jarak 100 meter untuk pengesahan akhir. 

“Pemerhatian terhadap imej keadaan helikopter selepas kejadian tidak menunjukkan tingkap pesawat berkenaan terbuka.

“Berdasarkan pandangan juruterbang yang turut dirujuk, kemungkinan mangsa tercampak keluar adalah sangat rendah kerana tiada tanda tingkap helikopter terbuka,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih tertakluk kepada siasatan dan pengesahan pihak berkuasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×