UMNO tidak boleh bergantung kepada sesiapa

UMNO tidak boleh bergantung kepada sesiapa

MOHAMAD HASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti lain untuk menentukan kelangsungan politiknya tetapi perlu membangunkan kekuatan sendiri.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hayat UMNO tidak boleh disandarkan kepada perhitungan atau kekuatan parti lain kerana ia hanya memberikan manfaat untuk jangka pendek.

Katanya, UMNO perlu berdikari dengan membangunkan kekuatan menerusi cara dan strategi sendiri bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

“UMNO juga sangat menyedari bahawa ia tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH (Pakatan Harapan) atau PN (Perikatan Nasional). Tidak Pas. Apatah lagi DAP.

“Hayat UMNO tidak boleh kita sandarkan pada perhitu­ngan parti lain, atau kekuatan mereka. UMNO mesti berdikari. Membangunkan kekuatannya de­ngan cara dan strategi sendiri.

“Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri,” katanya ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di sini semalam.

Mohamad berkata, pengundi Melayu dilihat semakin cende­rung kepada perwakilan politik Melayu Islam yang kuat, sekali gus menjadikan kesepaduan undi Melayu sebagai faktor penting pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, hakikat itu membuktikan bahawa orang Melayu mahu suara politik Melayu Islam kembali menjadi dominan dan menguasai pentadbiran, kehendak itu harus diterjemahkan oleh UMNO pada PRU16.

Beliau berkata, berdasarkan situasi terkini, orang Melayu menginginkan perwakilan politik Melayu Islam yang kuat bagi memperjuangkan nasib mereka.

Beliau berkata, orang Melayu tidak peduli dengan apa jua formula politik namun kestabilan perlu menjadi keutamaan de­ngan kuasa politik Melayu Islam sebagai tunjang.

Bagaimanapun, tegasnya, ke­adi­lan kepada semua bangsa ti­dak akan disisihkan malah UMNO berikrar untuk menjadikan Malaysia yang adil dan bersatu padu.

“Politik identiti sukar dipisahkan dengan sikap pengundi Melayu. Perkara itu juga terpakai kepada bukan Melayu. Walau di mana pun, politik identiti adalah kelaziman yang tidak boleh di kesampingkan.

“Identiti itu membawa ke­dekatan yang sukar digambarkan. Ia mengikat dengan caranya tersendiri.

“Walaupun pengundi sangat mementingkan isu-isu seperti sara hidup, pembasmian rasuah dan pengagihan kekayaan yang saksama, mereka akhirnya akan lebih cenderung mengundi berdasarkan identiti kaum,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu turut berkata, UMNO mempunyai struktur parti yang sangat tersusun sekali gus mampu mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu.

“Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan membuktikan apabila kita mempunyai calon yang sesuai, jentera bekerja secara tersusun, strategi tepat dan mesej jelas, rakyat, khususnya orang Melayu, boleh kembali memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada UMNO,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×