PETALING JAYA: MJHM Holdings menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan perkhidmatan berasaskan perubatan regeneratif “welness & healthy aging” dan penyelidikan bersama.
Menurut MJHM Holdings, kerjasama tersebut bersifat simbiosis, di mana syarikat akan berkongsi pengalaman dan pengkalan data yang dikumpul secara elektronik sejak lebih 30 tahun bagi menghasikan kajian penyelidikan yang boleh diaplikasikan kepada tujahan perkhidmatan di Pusat Perubatan UKM.
Jelasnya, melalui rancangan penubuhan UKM Health Technopolis, MJHM bersedia membangunkan pusat pengesanan awal sehenti atau “one-stop center for health screening and wellness” sebagai satu komponen penting dalam aspek kesihatan yang bakal melengkapi spektrum perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang ditawarkan oleh UKM iaitu aspek pegesanan, pencegahan, gayahidup aktif sihat serta perubatan regeneratif.
“Sebagai sebuah syarikat korporat yang berdaftar di Malaysia, MHJM berhasrat menjadi sebuah institusi kesihatan yang komprehensif serta dinamik sejajar peredaran masa dan teknologi.
“Melalui tiga cabang perkhidmatan kesihatan MJHM yang sedia ada iaitu MJ Health Screening, REV Physiotherapy and Rehabilitation Center dan ECOHEAL Air Purifier, diharapkan potensi setiap entiti akan dapat ditingkatkan lagi dengan penglibatan para penyelidik dan pakar perubatan UKM,” katanya dalam kenyataan.
Tambah syarikat itu lagi, baru-baru ini, penyelidik Hospital Caselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan UKM yang diketuai Datuk Dr. Badrul Akmal Hisham Md. Yusoff dari Jabatan Ortopedik & Traumatologi Fakulti Perubatan UKM, dengan kerjasama MJHM telah berjaya mendapat Geran Penyelidikan Fundamental Fakulti Perubatan bagi menjalankan kajian penggunaan alat “air purifier” yang menggunakan teknologi Photo-hydro-ionisation iaitu ECOHEAL di wad-wad yang menempatkan pesakit Covid-19.
Jelasnya, ECOHEAL dipilih berdasarkan beberapa ciri memberikannya kelebihan berbanding peralatan penapisan udara yang biasa digunapakai bagi menimbangkan sama ada aplikasi dalam penggunaan di fasiliti tertutup dan berisiko tinggi, dapat menghasilkan kualiti pengudaraan dalaman yang lebih selamat, mungkin berupaya mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19 yang terampai melalui udara.
“Hasil cerapan yang didapati, terbukti ECOHEAL berupaya meningkatkan kualiti udara dalaman serta dapat mengurangkan viabiliti virus Covid-19 melalui proses pemusnahan RNA virus Covid-19 dengan interaksi elemen superoksida yang terhasil daripada ECOHEAL,” jelasnya. – UTUSAN










