Minggu Johor di Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2020 Dubai

Minggu Johor di Ekspo Dubai 2020

ZARINA Abdul Kadir (tengah) semasa majlis pertukaran tiga MoU yang membawa kerjasama strategik dengan nilai pelaburan RM100 juta di Minggu Johor di Ekspo 2020 Dubai, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Johor telah melancarkan Minggu Johor di Pavillion Malaysia bersempena minggu ke-22 Ekspo 2020 Dubai, bertemakan Permata Selatan Malaysia, bermula 27 Februari sehingga 5 Mac 2022.

Kehadiran Johor di Ekspo Dunia itu membuktikan kesungguhan negeri Johor membuka pintu pelaburan kepada pasaran dunia, menawarkan insentif mesra pelabur selaras dasar kerajaan Malaysia yang mantap dan mesra perniagaan.

Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir berkata, Johor merupakan destinasi pelaburan ideal dengan potensi pertumbuhan dan pembangunan pesat serta ekosistem ekonomi mampan yang memberi manfaat kepada pelabur yang ingin bertapak dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

“Negeri Johor terletak di satu kedudukan yang amat strategik iaitu di tengah rantau ASEAN serta laluan perkapalan antarabangsa utama paling sibuk di dunia, selain akses mudah melalui udara dalam masa 6 jam penerbangan dari bandar-bandar utama ASEAN melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan 3 pelabuhan antarabangsa dan pelbagai lebuh raya.

“Iskandar Puteri, sebagai contoh, merupakan sebuah pembangunan bersepadu terbesar di Asia Tenggara, seluas 24,000 ekar.

“Pembangunan pemangkin itu adalah sejajar dengan sektor dan industri yang dikenal pasti di bawah Wawasan Johor 2030. Johor juga mempunyai ekosistem maju, dengan kerjasama awam-swasta matang dan insentif fiskal menarik bagi pelabur,” katanya semasa pembukaan Minggu Johor di Expo 2020 Dubai, kelmarin.

Tambah beliau, pihaknya bangga kerana Johor telah berjaya mengekalkan daya tahan sosio-ekonominya melalui pengukuhan keseluruhan ekosistem bakat selain meningkatkan aktiviti ekonomi untuk mempercepatkan pemulihan sosio-ekonomi negeri.

Ujarnya, kehadiran pihaknya di Ekspo Dunia itu adalah tepat pada masanya dan merupakan bukti komitmen mereka untuk menarik potensi nilai perdagangan dan pelaburan sebanyak RM500 juta untuk negeri Johor.

Menurut Zarina, dengan bilangan penduduk seramai 3.61 juta orang, Johor sedia menawarkan tenaga kerja pelbagai bidang, yang turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk melahirkan tenaga mahir melalui kerjasama awam-swasta yang inovatif iaitu inisiatif Iskandar ekonomi, pengalaman dan bakat baharu (NEXT).

Kerjasama Kerajaan Negeri dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) itu menyokong agenda ekonomi digital negeri dan dijangka mewujudkan pekerjaan, menarik pelaburan, dan membangunkan komuniti berpengalaman untuk negeri Johor dan juga negara.

Minggu Johor mempamerkan amalan terbaik dan perniagaan teras negeri serta emerging industries yang kebanyakannya berpusat di wilayah Iskandar Malaysia.

Antara yang menarik semasa pembukaan Minggu Johor itu adalah pengumuman tiga kerjasama strategik dengan nilai pelaburan lebih RM 100 juta.

Kerjasama pertama adalah di antara IIB dan DHL bagi Zon Dron dan Robotik (DRZ) Iskandar. Pusat Inovasi Asia Pasifik DHL bekerjasama dengan Kumpulan IIB bagi membangunkan strategi DRZ Iskandar sebagai sebahagian usaha berterusan untuk mempromosikan inisiatif pemangkin Iskandar dalam industri 4.0.

Kerjasama kedua adalah di antara IIB dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), di mana pelancaran MDEC Global Testbed Incentives (GTI) adalah kerjasama IIB Ventures Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh IIB sebagai Rakan Pelancaran Utama dan Rakan Ekosistem di Johor.

Yang ketiga pula ialah pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Meraque Services Sdn Bhd, syarikat milik penuh Bumiputera yang menumpukan perkhidmatan teknologi penyelesaian dron dan Al Nabooda Chulia Facilities bagi memperkembangkan kehadiran mereka di Afrika Selatan.

Terletak di Tingkat Bawah pavilion Malaysia, Minggu Johor mempamerkan peluang pelaburan di Johor melalui pelbagai program yang bertujuan untuk menembusi pasaran GCC serta 191 negara peserta yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN