Proton mendapatkan semula kedudukan kedua dalam pasaran

Jualan Proton meningkat 107 peratus

Proton X50 muncul SUV paling laris di Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan pengeluar kereta nasional, Proton yang terjejas akibat banjir sebelum ini kembali pulih pada bulan lalu dengan merekodkan peningkatan seba­nyak 107 peratus atau 9,225 unit di peringkat domestik dan eksport.

Ia membolehkan Proton mendapatkan semula kedudukan kedua dalam pasaran dan meletakkannya kembali di landasan untuk memulihkan kehilangan jualan sebelum ini.

Proton menguasai 20.2 peratus pasaran jualan kenderaan domestik bulan lalu, manakala untuk dua bulan pertama tahun ini ia memegang 15.9 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, keupayaan syarikat untuk mengeluarkan lebih banyak kereta adalah punca utama bagi pemulihan jualan Februari.

“Ia hanya dapat dicapai me­lalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor kami dan kakitangan Proton yang be­kerja bertungkus lumus untuk mengembalikan syarikat ke landasan yang betul.

“Tempahan kami kekal kukuh dan kami yakin boleh mencapai sasaran untuk tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, bagi pasaran automotif secara amnya, jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun ini dianggarkan meningkat sebanyak 11.4 peratus berbanding dua bulan pertama 2021.

Ujarnya, itu adalah beri­ta baik untuk syarikat kereta dan komuniti vendor selain bukti keberkesanan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan.

Kini, semua aktiviti pengeluaran Proton beroperasi sepenuhnya di Shah Alam dan Tanjung Malim sekali gus meningkatkan jumlah jualan dengan ketara secara keseluruhan.

Bagaimanapun, model seperti Proton Saga hanya dapat menjalankan pengeluaran dan aktivi­ti jualan biasa selama setengah bulan, dan itu menjejaskan potensi sepenuhnya, jelas Proton.

Proton Saga telah mencatatkan jualan 2,951 unit pada Februari, walaupun kurang daripada purata bulanan biasa, angka itu dijangka kembali ke tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang.

Model lain pula mencapai jualan yang lebih baik berban­ding sasaran. Proton X50 dan X70 menutup tirai Februari de­ngan jualan sebanyak 3,002 dan 1,119 unit yang membolehkan kedua-duanya mengekalkan pe­gangan di tempat pertama dalam segmen masing-masing.

Proton X50 juga menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di Malaysia dan menarik lebih 100,000 unit tempahan dalam masa 16 bulan.

Proton Exora pula turut kembali ke tempat pertama dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C, manakala terdapat peningkatan besar untuk Iriz dan Persona di mana kedua-duanya berada di kedudukan keempat dan kedua dalam segmen masing-masing.

Proton turut merekodkan peningkatan jualan eksport sebanyak 72.8 peratus, apabila sebanyak 323 unit pelbagai model dijual berbanding hanya 187 unit tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN