PETALING JAYA: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menjalin kerjasama antarabangsa pertama bersama Accenture Singapura untuk membangunkan strategi penglibatan pasaran serta produk dan perkhidmatan di sektor bernilai tinggi.
Memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak memfokuskan bidang Analitik Data Raya (Big Data Analytics), Kecerdasan Buatan (AI), pembangunan aplikasi kod rendah, sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) berasaskan awan, DevOps dengan keupayaan perkhidmatan mikro dan banyak lagi.
Menurut kenyataan, jalinan kerjasama ini akan memanfaatkan ekosistem HRD Corp yang menumpukan pada data serta pandangan tentang landskap latihan di Malaysia dan keperluan pembangunan modal insan dalam industri, diiringi teknologi dan keupayaan Accenture.
Kerjasama itu juga akan merangkumi pembangunan Pusat Kecemerlangan Analitis (ACE) oleh kedua-dua pihak dalam usaha untuk melancarkan program latihan analitik untuk industri dan
individu, serta sebarang program latihan lain yang berkaitan berdasarkan kebolehan teknologi tinggi ini.
“Menerusi kerjasama ini, HRD Corp dan Accenture juga akan turut berusaha mewujudkan dan melaksanakan program pembelajaran transformasi digital untuk memanfaatkan tenaga kerja Malaysia.
“Ini akan dilakukan melalui latihan formal dan penempatan yang akan membolehkan mereka meningkatkan kecekapan mereka dan dalam masa yang sama memperoleh pengalaman praktikal.
“Gabungan itu juga akan menubuhkan kumpulan bakat berdaftar yang mempunyai kompetensi serta kemahiran untuk menggalas tanggungjawab mengendalikan projek khusus yang menyokong kedua-dua organisasi,” menurut kenyataan itu.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dan Pengarah Urusan Accenture Malaysia, Azwan Baharuddin, disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi HRD Corp, Datuk Ariff Farhan Doss di Ibu Pejabat Utama Accenture Singapura, semalam.
HRD Corp dan Accenture juga telah bersetuju untuk membuat pertukaran teknologi serta keupayaan dalam melaksanakan yang telah digariskan dalam MoU tersebut.
Kementerian Sumber Manusia berharap usaha perintis HRD Corp ini akan mencetuskan transformasi yang lebih besar dalam sektor perkhidmatan awam Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan, serta pemain dan segmen industri tempatan yang disasarkan. – UTUSAN










