Garis panduan interim untuk industri vape - Utusan Malaysia

Garis panduan interim untuk industri vape

vape
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus memperkenalkan garis panduan untuk industri vape dengan segera sebagai satu langkah interim berikutan penangguhan rang undang-undang membabitkan industri tersebut.

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, industri vape telah memohon peraturan sejak tahun 2015 dan di samping membangunkan industri, pemain industri telah beroperasi dengan mengawal selia sendiri dan mematuhi piawaian yang tinggi untuk memastikan tiada produk dijual kepada golongan bawah umur.

“Penundaan ini amat mengecewakan kerana industri memerlukan satu kepastian untuk bergerak ke hadapan. Tiada sebarang kata putus daripada kerajaan mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh industri vape walaupun terdapat perbincangan daripada kerajaan untuk mengawal selia industri itu.

“Pengumuman semasa Bajet 2022 tahun lepas mengatakan akan ada pelaksanaan cukai ke atas cecair vape yang mengandungi nikotin. Bagaimanapun ia juga telah ditangguhkan tanpa sebarang jangka masa diberikan. 

“Dengan penundaan tersebut, industri vape yang mempunyai lebih daripada 15,000 pekerja dan 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ini akan terus dibiarkan tanpa sebarang hala tuju yang pasti daripada kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pembentangan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok di Parlimen bagi mengawal selia vape dan tembakau telah ditangguhkan, bermakna peraturan dan cukai berkaitan vape nikotin juga tidak dapat dilaksanakan.

Pada Oktober 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul dalam pembentangan Bajet 2022 telah mengumumkan pelaksanaan duti eksais sebanyak RM1.20 setiap mililiter ke atas gel atau cecair berasaskan nikotin untuk vape dan rokok elektronik.

Duti tersebut yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari 2022 telah ditangguhkan sehingga kini memandangkan KKM masih belum mengecualikan cecair vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun 1952 kerana Kerajaan masih belum melaksanakan undang-undang untuk mengawal selia produk vape.

Menurut Rizani, terdapat jalan penyelesaian terhadap masalah ini jika kerajaan serius tentang melaksanakan kawal selia industri.

“Sebagai langkah interim sementara menunggu undang-undang vape, kerajaan seharusnya membuat terlebih dahulu satu garis panduan untuk industri. Garis panduan tersebut perlu memberikan hala tuju yang jelas kepada pemain industri tempatan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam aktiviti jualan bagi memastikan tiada jualan kepada golongan bawah umur.

“Di samping itu, garis panduan itu juga perlu memberi panduan mengenai pembungkusan produk vape, kandungan yang dibenarkan di dalam cecair vape termasuk jumlah nikotin yang dibenarkan. 

“Dengan cara ini, garis panduan itu dapat membantu industri membuat persediaan untuk peraturan apabila undang-undang diluluskan kelak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.