Maybank merekodkan pendapatan sebanyak RM10.89 bilion

Untung bersih Maybank meningkat kepada RM8.10 bilion

DARI kiri, Abdul Farid Alias, Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Khalijah Ismail.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank, bank keempat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset, merekodkan pendapatan lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK21) dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 25.8 peratus tahun ke tahun kepada RM10.89 bilion, berbanding RM8.66 bilion tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih Maybank meningkat kepada RM8.10 bilion, 24.9 peratus lebih tinggi daripada RM6.48 bilion yang dicatatkan setahun sebelumnya.

Menurut Maybank, prestasi yang lebih baik disumbang oleh prospek ekonomi serantau yang bertambah baik, menyokong pertumbuhan pendapatan operasi bersih dan mengurangkan kerugian rosot nilai sebanyak 36.6 peratus hasil daripada peruntukan awal Bank untuk pinjaman dan pelaburan kewangan yang berpotensi buruk, yang dilaksanakan sejak bermulanya pandemik pada 2020.

“Pendapatan operasi bersih meningkat 2.8 peratus kepada RM25.45 bilion, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 3.1 peratus pada 2021. Ini disokong oleh peningkatan 14.6 peratus tahun ke tahun dalam jumlah pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM19.09 bilion dibantu oleh pinjaman yang lebih kukuh,  serta pertumbuhan ketara akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), yang membantu margin faedah bersih (NIM) berkembang 22 mata asas tahun ke tahun.

“Walaubagaimanapun, ia diimbangi sebahagiannya oleh penurunan 21.6 peratus dalam pendapatan fi bersih kepada RM6.36 bilion. Ini disebabkan terutamanya oleh keuntungan bersih yang lebih rendah dalam pendapatan pelaburan dan kerugian nilai pasaran bagi portoflio pendapatan tetap yang dipegang oleh unit insurans disebabkan oleh peningkatan hasil,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pertumbuhan dalam kos dikandung pada tahap 2.6 peratus, iaitu di bawah pertumbuhan pendapatan.

Justeru, keuntungan operasi pra-peruntukan Kumpulan meningkat kepada RM13.93 bilion daripada RM13.54 bilion tahun sebelumnya, jelasnya.

Pada suku keempat (S4TK21), Kumpulan telah mencatatkan peningkatan PBT sebanyak 36.5 peratus kepada  RM2.72 bilion berbanding tahun sebelumnya, berikutan pembukaan ekonomi serantau dalam tempoh tersebut. Sementara itu, keuntungan bersih meningkat sebanyak 33.8 peratus kepada RM2.06 bilion.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, walaupun persekitaran yang mencabar berikutan kebangkitan semula wabak dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan pada sebahagian besar tahun 2021, Kumpulan kekal berdaya tahan dan memberikan prestasi yang membanggakan, didorong oleh pengurusan aset dan liabiliti yang baik, pinjaman kredit dan amalan kualiti aset berhemat, pengurusan kos yang berdisiplin dan tadbir urus yang kukuh.

“Sungguhpun kami menyaksikan pemulihan secara beransur-ansur di peringkat serantau yang disokong oleh penyambungan semula lebih banyak aktiviti ekonomi, peningkatan kadar vaksinasi dan dasar penyesuaian, kami akan kekal di hadapan dalam menguruskan risiko utama kami dan sebarang kebangkitan semula kes Covid-19.

“Dengan selesainya tahun pertama kami dibawah pelan M25, kami optimistik secara berwaspada dalam mempercepatkan cita-cita kami untuk mencapai tiga keutamaan strategik, iaitu digital, kemampanan dan pemacu nilai baharu,” katanya.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Abdul Farid Alias pula berkata, keupayaan Kumpulan untuk menyampaikan keputusan yang lebih baik pada 2021 disokong oleh keputusan stategik Bank untuk berhemat dari segi pengurusan kredit dan risiko semenjak bermulanya pandemik.

“Kekuatan dan daya tahan kewangan kami adalah hasil daripada tumpuan dalam membina kecairan, modal, serta amalan kredit dan pengurusan risiko yang kukuh di seluruh Kumpulan selama ini.

“Ini telah membantu kami mengatasi wabak Covid-19 dan memberi keupayaan untuk menyokong pelanggan kami yang memerlukan,” katanya.

Lembaga Pengarah Maybank telah mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 30 sen sesaham, terdiri daripada bahagian boleh pilih sebanyak 7.5 sen sesaham di bawah jumlah Pelan Pelaburan Semula Dividen.

Ini membawa dividen tahun penuh berjumlah 58 sen sesaham, dan diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen tahun penuh sebanyak 84.5 peratus atau RM6.64 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN