PETALING JAYA: Telekom Malaysia Bhd (TM) komited untuk meningkatkan aspek pengalaman, kapasiti serta nilai untuk pelanggannya menerusi spektrum jalur 2600 megahertz (MHz) yang diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), baru-baru ini.
Syarikat tersebut telah menerima surat tawaran daripada MCMC merangkumi blok spektrum 20 MHz daripada jalur 2600 MHz menerusi anak syarikatnya, Webe Digital Sdn. Bhd.
TM berkata, penugasan bagi 20 MHz dalam jalur frekuensi 2575-2595 MHz itu berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Ia membabitkan yuran sebanyak RM37 juta dalam tempoh lebih lima tahun, termasuk yuran pendahuluan sebanyak RM7.06 juta dan tahunan RM5.98 juta yang perlu dibayar menjelang 15 Disember pada setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar memaklumkan, spektrum tersebut memberi nilai dan manfaat besar kepada TM sebagai peneraju penyedia konvergen terkemuka.
Beliau berkata, peningkatan kapasiti terbabit akan membolehkan syarikat menyediakan akses tetap dan tanpa wayar selain kandungan kepada pelanggan runcit serta perusahaan tanpa mengira lokasi mereka.
“Penerimaan tawaran spektrum itu juga seiringan dengan hala tuju masa depan TM dalam ruang digital yang dinamik.
“Dengan infrastruktur gentian kami yang kukuh dan meluas, spektrum ini akan turut membantu pengembangan perkhidmatan telekomunikasi di masa depan untuk pelanggan serta pengalaman konvergen secara menyeluruh.
“Peruntukan spektrum itu membolehkan TM menyokong agenda negara dalam menyampaikan liputan telekomunikasi secara meluas dengan kualiti perkhidmatan yang tinggi, terutama menerusi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” ujarnya. – UTUSAN










