TDM rekod untung sebelum cukai RM81.4 juta - Utusan Malaysia

TDM rekod untung sebelum cukai RM81.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TDM Berhad merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM81.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, iaitu lapan kali ganda peningkatan daripada yang dicatatkan pada 2020.

Pendapatan Kumpulan turut meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM511 juta berbanding tahun sebelumnya hasil daripada pertumbuhan pendapatan daripada bahagian perladangan sebanyak RM46.8 juta atau 19 peratus dan bahagian penjagaan kesihatan sebanyak RM21.3 juta atau 11 peratus.

Menurut kenyataan, bagi suku keempat 2021 pula, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak 27 peratus berbanding suku sama 2020, dipacu  pendapatan yang lebih tinggi daripada bahagian perladangan sebanyak RM30.8 juta atau peningkatan 42 peratus dan bahagian penjagaan kesihatan sebanyak RM4.6 juta atau peningkatan 8.0 peratus.

“TDM juga mencatatkan PBT sebanyak RM67.1 juta bagi suku tersebut, kenaikan 17 kali ganda berbanding RM3.8 juta ketika suku sama tahun sebelumnya,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, kedua-dua kilang syarikat telah mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 25 peratus dalam pemprosesan iaitu 40 mt hingga 50 mt sejam.

“Dengan peningkatan tahap pengeluaran, bahagian ini menyasarkan untuk meningkatkan OCP BTS kepada lebih 100,000 tan tahun ini. Peningkatan dalam keluaran CPO akan mengurangkan lagi kos pemprosesan CPO, justeru meningkatkan pendapatan syarikat.

“Pada masa yang sama, syarikat juga telah menggunakan teknik analisis data untuk membantu menganalisis prestasi ladang pada tahap mikro, dan bukannya hanya bergantung pada gambaran keseluruhan peringkat makro.

“Teknik analitik data ini akan membantu pasukan perladangan mengenal pasti dengan tepat isu di blok tertentu sekaligus membolehkan syarikat menetapkan penyelesaian yang betul,” ujarnya.

Tambah kenyataan, bahagian perladangan TDM sedang mempercepatkan pembinaan infrastruktur tebatan banjir bagi memudahkan pemindahan BTS semasa musim tengkujuh memandangkan insiden banjir yang kerap berlaku di Pantai Timur.

“Pelaburan secara one-off ini akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan jangka panjang. Ladang-ladang syarikat juga merancakkan usaha untuk mengguna pakai mekanisasi kerana ia boleh meningkatkan produktiviti dengan lebih berkesan.

“Semua kawasan tanam semula baharunya dirancang dengan cara yang dapat memastikan setiap satu kawasan adalah kondusif dan sesuai untuk aktiviti mekanisasi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN