SP Setia teroka bidang penjagaan kesihatan  - Utusan Malaysia

SP Setia teroka bidang penjagaan kesihatan 

MAJLIS menandatangani kerjasama antara SP dan Qualitas Medical Group.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SP Setia Berhad (SP Setia) menerusi anak syarikatnya, Setia HC Ventures Sdn. Bhd., telah memeterai perjanjian dengan Qualitas Medical Group Sdn. Bhd. (Qualitas) untuk cadangan membangun dan mengendalikan pusat jagaan ambulatori (ACC) di Setia Alam, Shah Alam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, pihaknya yakin dengan kejayaan usaha baharu itu memandangkan penduduk yang semakin `tua’ di Malaysia dan keperluan untuk perkhidmatan seperti itu lebih mudah diakses di kawasan perbandaran mampan yang menempatkan keluarga berbilang generasi seperti Setia Alam.

“Ia adalah usaha pertama Kumpulan dalam bidang penjagaan kesihatan, yang mana menjadi perniagaan yang semakin berkembang berdasarkan trend pasaran.

“ACC adalah pusat pesakit luar yang menyediakan rangkaian perkhidmatan pakar dan pembedahan yang komprehensif termasuk kesihatan, diagnosis, rawatan dan pemulihan.

“Mereka bertindak sebagai jambatan antara pusat perubatan yang lengkap dan klinik amalan am,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, SP Setia telah mengenal pasti ACC pertama yang akan ditubuhkan iaitu di Setia City Residences di Setia Alam dengan mengambil kira perkembangan terbabit.

Setia City Residences ialah pembangunan bercampur bersepadu tiga menara yang menawarkan komponen kediaman dan komersial. Ia juga disambungkan menerusi jambatan penghubung ke Setia City Mall.

Tambah Kai Wai, Kumpulan sudah meneroka perniagaan baharu yang akan melengkapkan kekuatan syarikat untuk merangsang pendapatannya, dan ACC yang memerlukan pelaburan modal yang agak kecil, adalah satu potensi yang telah dikenal pasti.

“Dipercepatkan oleh pandemik baru-baru ini, perkhidmatan penjagaan kesihatan mempunyai prospek yang kukuh untuk masa kini dan masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Qualitas, Datuk Noorul Ameen Mohamed Ishack meramalkan kerjasama dengan SP Setia itu akan mengukuhkan penawaran Qualitas dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati kerana dikenal pasti oleh SP Setia sebagai rakan kongsi pertamanya dalam usaha penjagaan kesihatan.

“Kepakaran kami dalam mengendalikan dan menguruskan pusat pesakit luar dan pengalaman SP Setia dalam perbandaran yang berjaya akan membentuk perkongsian yang kukuh dan membuahkan hasil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN