Risiko serangan siber ke atas Ukraine dijangka meningkat

Risiko serangan siber ke atas Ukraine meningkat

SEORANG petugas memantau skrin mengenai ancaman serangan siber di sebuah pusat operasi di Ukraine. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR (23 Feb): Risiko serangan siber ke atas Ukraine dijangka meningkat di tengah-tengah ketegangan Rusia-Barat, menurut S&P Global Ratings .

Penganalisis kredit S&P Global Ratings, Zahabia Gupta berkata, serangan sedemikian boleh memberi kesan ke atas syarikat, kerajaan dan pihak lain di rantau ini dan seterusnya.

Beliau menyatakan demikian dalam laporan bertajuk “Ringkas Ancaman Siber: Sejauh Manakah Kita Perlu Bimbang Mengenai Serangan Siber di Ukraine?” yang dikeluarkan semalam.

“Kami memantau jika serangan sebegitu boleh merebak ke luar sempadan dan potensi implikasi kreditnya,” kata Gupta.

Gupta berkata, serangan siber menjadi cara yang lebih lazim untuk mencapai objektif dasar luar, memandangkan kos penempatan yang lebih rendah berbanding taktik ketenteraan konvensional dan skop tindakan balas yang tidak pasti.

“Serangan ini sering menjejaskan keyakinan terhadap institusi dan infrastruktur utama, membayangkan implikasi kredit yang lebih luas merentas sektor dan geografi,” jelasnya.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku pada 2017 apabila perisian hasad (malware) dipanggil “NotPetya” diedarkan di Ukraine, menyebabkan gangguan selama berminggu-minggu kepada kira-kira 7,000 syarikat di 65 negara.

Serangan itu mengakibatkan anggaran kerugian ekonomi sebanyak AS$10 bilion (RM41.83 bilion) membabitkan gangguan kepada operasi dan rantaian bekalan, kos pemulihan serta kehilangan hasil.

“Kami percaya bahawa kesan ekonomi daripada serangan sedemikian terhadap entiti boleh menjadi lebih teruk sekarang, memandangkan peningkatan kesalinghubungan dan pendigitalan,” tambah Gupta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN