Qiddiya, destinasi pelancongan global dalam pembikinan - Utusan Malaysia

Qiddiya, destinasi pelancongan global dalam pembikinan

LAKARAN artis projek taman tema Six Flags Qiddiya yang bakal dibangunkan di Arab Saudi. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Qiddiya Investment Co. (Diqqiya) menandatangani kontrak berjumlah SR3.75 bilion (AS$1 bilion/RM4.2 bilion) untuk membina taman tema yang menempatkan rollercoaster tertinggi dan terpantas di dunia yang akan menjadi bandar hiburan di negara ini.

Qiddiya menandatangani perjanjian dengan Almabani General Contractors dan syarikat Perancis, Bouygues Batiment International pada Disember lalu, untuk membina taman tema Six Flags Qiddiya.

Tapak seluas 32 hektar itu akan merangkumi 28 rollercoaster dan tarikan merentasi enam kawasan bertema berbeza.

Rollercoaster Falcon Flight sejauh 4km akan menjadi tumpuan utama taman itu, dan ia mempunyai kelajuan 250km sejam dan cerunan setinggi 160 meter.

Namun, rollercoaster itu hanyalah sebahagian kecil daripada projek giga Qiddiya yang akan merangkumi pusat seni, kawasan festival, stadium sukan, kedai dan restoran, pembangunan perumahan, litar lumba motor dan padang golf yang direka oleh Jack Nicklaus, pemenang 18 kali kejohanan golf.

Pembangunan itu diumumkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman pada 2017 dalam usaha menjadikan Qiddiya sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaik di dunia.

Projek itu selaras dengan rancangan Wawasan 2030 beliau untuk mengurangkan penggantungan Arab Saudi kepada minyak dan meningkatkan pelaburan.

Projek itu juga merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil daripada sektor pelancongan daripada 3 peratus sekarang kepada 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir dekad ini.

Qiddiya terletak di barat daya Riyadh di tapak seluas 367 km persegi dan 45km dari Riyadh. Bandar baharu itu terletak dalam jarak satu jam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khaled.

Kawasan itu berharap dapat menarik 17 juta pengunjung setahun menjelang 2030 dan dijangka menyumbang sehingga SR17 bilion kepada KDNK menjelang 2030 dan menyediakan 25,000 pekerjaan.

Projek itu dalam peringkat awal pembangunannya, menggaji kira-kira 500 pekerja dengan 60 peratus daripadanya adalah warga tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN