Perdagangan borong dan runcit rekod nilai jualan tertinggi berjumlah RM120.5 bilion - Utusan Malaysia

Perdagangan borong dan runcit rekod nilai jualan tertinggi berjumlah RM120.5 bilion

GM Klang menawarkan pelbagai produk borong dan runcit di bawah satu bumbung. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM120.5 bilion pada Disember lalu, dengan suku tahun keempat 2021 mencatatkan RM354.3 bilion, demikian menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, jumlah jualan ialah sebanyak RM1.3 trilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan 3.5 peratus bagi perdagangan borong dan runcit itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan sebanyak RM3 bilion atau 3.5 peratus kepada RM48.5 bilion.

Kata beliau, perdagangan borong juga berkembang dengan 4.1 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM57.6 bilion.

“Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor meningkat 1.5 peratus atau RM0.2 bilion kepada RM14.5 bilion.

“Untuk perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 2.5 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi termasuk perjalanan rentas negeri. Berbanding

Disember 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19, perdagangan borong dan runcit meningkat 4.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai prestasi mengikut subsektor, Mohd. Uzir memaklumkan, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 3.5 peratus pada Disember 2021 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 6.0 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM18.0 bilion.

Mengulas subsektor perdagangan borong, beliau berkata, kenaikan 4.1 peratus disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM0.9 bilion atau 8.1 peratus kepada RM11.5 bilion.

Ini diikuti oleh jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup dengan 14.7 peratus untuk merekodkan RM4.7 bilion.

Mohd. Uzir turut menerangkan, pertumbuhan 1.5 peratus dalam subsektor Kenderaan bermotor bulan dilaporkan disumbangkan oleh Jualan Alat Ganti & Aksesori Kenderaan Bermotor yang melonjak 11.7 peratus atau RM0.4 bilion kepada RM3.5 bilion.

“Ini diikuti oleh penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor dan jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal masing-masing sebanyak 9.8 peratus dan 5.6 peratus. Walau bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor merosot -4.5 peratus pada Disember 2021,” katanya.

Mengulas lanjut prestasi suku tahunan, beliau berkata, peningkatan 5.1 peratus pada suku tahun keempat 2021 bagi perdagangan borong & runcit adalah didorong oleh subsektor perdagangan Borong yang berkembang RM8.2 bilion atau 5.1 peratus kepada RM169.7 bilion.

Ini diikuti oleh perdagangan runcit yang meningkat 5.0 peratus atau RM6.7 bilion untuk merekodkan RM142.6 bilion. Subsektor kenderaan bermotor juga meningkat 5.3 peratus atau RM2.1 bilion untuk mencapai RM42.0 bilion pada suku dilaporkan.

“Indeks jualan runcit melalui internet pada Disember 2021 merekodkan pertumbuhan 20.7 peratus tahun ke tahun (November 2021: 21.0 peratus). Bagi pelarasan musim, indeks ini meningkat 3.0 peratus berbanding bulan sebelum. Bagi suku tahun keempat, ia meningkat 20.8 peratus tahun ke tahun manakala, peningkatan tahunan pula sebanyak 18.1 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN