SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) mencatatkan jualan hartanah baharu sebanyak RM998 juta bagi tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini sekali gus optimis ke arah landasan tepat ke tahap sebelum pandemik.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, walaupun berdepan cabaran besar seperti pemaju hartanah lain, Kumpulan berjaya mencatat pertumbuhan dan memberi pulangan menarik kepada pemegang saham.
“Walaupun kami menghadapi cabaran ketika memulakan tahun kewangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun prestasi lebih tinggi ini mampu dicapai.
“Matrix Concept juga telah merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak 35.5 peratus kepada RM356.7 juta berbanding RM263.2 juta sebelumnya, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhannya sejak awal tahun kewangan semasa. Ia disebabkan permintaan kukuh untuk kediaman hartanah di Sendayan Developments terutamanya di Seremban,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, jualan yang dicatatkan dalam tempoh dikaji itu adalah 15.3 peratus lebih tinggi berbanding RM865.3 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
“Pencapaian jualan hartanah baharu ini bersamaan dengan 83.2 peratus sasaran setahun penuh Kumpulan iaitu sebanyak RM1.2 bilion. Untung bersih Matrix Concepts berada pada RM59.1 juta pada suku ketiga sekali gus meyaksikan Kumpulan mengisytiharkan dividen interim ketiga 3.75 sen sesaham.
“Prestasi lebih baik ini dicapai meskipun Matrix Concepts berdepan cabaran ketika memulakan tahun kewangan semasa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Pada suku ketiga berakhir 31 Disember tahun lalu, Matrix Concepts mampu meraih jualan hartanah baharu yang baik iaitu meningkat 35.5 peratus kepada RM356.7 juta berbanding RM263.2 juta sebelumnya, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhannya sejak awal tahun kewangan semasa.
“Kami juga telah melihat tanda menggalakkan untuk kembali ke paras normal dengan jualan hartanah baharu mencatatat pertumbuhan dua angka, manakala pendapatan pula kembali ke tahap sebelum pandemik.
“Bagi bergerak maju ke hadapan, kami berharap untuk memacu prestasi jualan yang lebih baik dan berdasarkan aliran jualan semasa, kami yakin untuk melepasi sasaran jualan setahun penuh RM1.2 bilion.
“Matrix Concepts juga akan mempercepatkan kerja-kerja pembinaan sejak PKP terakhir ditarik balik, di mana ia akan terus menyokong prestasi kewangan kami untuk tahun kewangan semasa dan akan datang,” katanya.
Mohamad Haslah turut menjelaskan, selaras dengan aliran meningkat yang berterusan dalam permintaan, Matrix Concepts merancang untuk melancarkan hartanah bernilai lebih RM270 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.
“Ia meliputi projek kediaman di Sendayan Developments, disokong oleh pasaran hartanah yang semakin pulih dan peningkatan ekonomi negara secara beransur-ansur,” katanya. – UTUSAN










