MAFI sasar pelaburan RM350 juta - Utusan Malaysia

MAFI sasar pelaburan RM350 juta

RONALD Kiandee melihat produk makanan buatan Malaysia yang dipamerkan di Minggu Pertanian Lestari di Ekspo Dubai 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) komited untuk mencapai sasaran pelaburan bernilai RM350 juta sepanjang Minggu Pertanian Lestari di Ekspo Dubai 2020.

MAFI sebagai hos akan menerajui tema minggu itu di Pavilion Malaysia dari 21 hingga 26 Februari 2022, dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation)
sebagai agensi pelaksana.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, MAFI sedang berusaha keras untuk mencapai sasaran pelaburan tersebut dengan memupuk hubungan dan perkongsian strategik bersama pemain-pemain global, terutamanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara Asia Barat bagi memacu pertanian lestari untuk kebaikan Malaysia dan dunia.

“Kami akan mengadakan 11 pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU), 50 potensi perniagaan, serta penyertaan daripada 20 PKS tempatan dan jabatan serta agensi di bawah MAFI pada minggu ini.

“Ini merupakan peluang menarik untuk kami menampilkan amalan pertanian terbaik, inovasi pintar, dan sumber asli kaya di Malaysia yang menyumbang kepada keselamatan makanan, penjanaan kekayaan, perlindungan alam sekitar, dan mata pencarian yang mampan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, ekspo itu adalah peluang terbaik untuk meningkatkan hubungan dua hala dan perdagangan antara Malaysia dan UAE melalui pembangunan pertanian lestari.

Kedua-dua negara bersedia untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi meningkatkan usaha pertanian lestari ke peringkat yang lebih tinggi, katanya.

MAFI dijangka menarik kira-kira 2,000 pelawat dan delegasi sepanjang Minggu Pertanian Lestari melalui pelbagai program dan aktiviti, seperti pameran, pelancaran produk-produk, pertukaran dokumen, demonstrasi masakan dan produk, koktel rangkaian, padanan perniagaan dan ceramah poket. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN