
TAMAN perindustrian getah mesra alam yang pertama di Malaysia, Kedah Rubber City (KRC) yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap dekat Alor Setar, bakal memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat terutama dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).
Projek strategik nasional Kerajaan Persekutuan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob pada 7 Februari lalu menjadi peneraju dalam pembangunan industri getah serta hab global bagi industri getah di negara ini.
Lebih membanggakan, NCIA dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan memaju dan membangunkan masyarakat pekebun kecil getah tempatan apabila dapat memberi manfaat kepada 73,642 pekebun kecil negeri Kedah, termasuk 11,190 pekebun kecil di daerah Padang Terap.
Ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan memastikan permintaan yang berterusan untuk bekalan getah asli mereka.
Di samping itu, usaha tersebut akan dapat menstabilkan harga getah melalui penggunaan getah asli secara optimum dengan penghasilan produk-produk hiliran yang bernilai tambah.
Selain itu, projek KRC yang bertaraf dunia itu akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan limpahan manfaat untuk penduduk setempat.
Pada masa ini sambutan terhadap KRC dalam kalangan pelabur juga amat menggalakkan apabila berjaya menarik pelaburan komited bernilai kira-kira RM4 bilion dengan mewujudkan kira-kira 7,000 peluang pekerjaan baharu.
Malah, KRC kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pelaburan swasta bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang 2025, iaitu lima tahun lebih awal daripada sasaran asal 2030.
Projek ini turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyampaikan pembangunan berskala besar ke kawasan-kawasan kurang membangun di negara ini.
Ismail Sabri ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) – KRC itu memberitahu, KRC merupakan salah satu daripada pelbagai projek pencetus perubahan ‘game changer’ yang dilaksanakan NCIA untuk mentransformasi negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang maju.
Menurut Perdana Menteri, fasa 1 pembangunan KRC melibatkan kawasan seluas 200 hektar kini disiapkan dan taman perindustrian tersebut bersedia untuk menerima kedatangan pelabur.
Katanya, kerajaan Persekutuan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM417.5 juta untuk pembangunan fasa 1 projek tersebut.
Sementara itu, jelasnya, fasa 2 projek berkenaan di kawasan seluas 302 hektar pula dijadual akan bermula pada 2023.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran sembilan dokumen kerjasama antara NCIA dan pelabur serta rakan-rakan strategik dalam pembangunan KRC.
Pada masa sama, projek KRC yang merupakan salah satu projek strategik nasional bersifat berimpak tinggi di NCER adalah sebahagian daripada rangka kerja Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH2035) yang bertujuan mentransformasikan Kedah menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi, dengan turut mengambil kira kepentingan rakyat dan sosiobudaya tempatan serta alam sekitar.
KEDAH2035 adalah selari dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025, yang bermatlamat merapatkan jurang pembangunan antara bandar-luar bandar dengan cara memacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam sektor-sektor ekonomi utama yang bernilai tinggi.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pula yakin KRC juga mampu mengikut jejak langkah KHTP dalam menarik kemasukan pelaburan yang berkualiti yang mampu menjana limpahan manfaat kepada rakyat negeri Kedah, khususnya dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu.
“KRC khususnya dan negeri Kedah amnya, kini bersedia mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya. – UTUSAN










