CO2: Petronas, Mitsui O.S.K Line jalin kerjasama - Utusan Malaysia

CO2: Petronas, Mitsui O.S.K Line jalin kerjasama

BERDASARKAN MOU, Mitsui O.S.K. Lines dan Petronas akan mengkaji pengangkutan CO2 cecair. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan firma perkapalan Jepun, Mitsui O.S.K. Lines Ltd. telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk mengkaji pengangkutan karbon dioksida cecair (CO2) yang diperlukan untuk rantaian nilai penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Menurut Mitsui O.S.K. Lines, MOU itu telah ditandatangani secara maya semalam.

Jelasnya, berdasarkan MOU itu, Mitsui O.S.K. Lines dan Petronas akan mengkaji pengangkutan CO2 cecair untuk perniagaan CCUS di rantau Asia Pasifik dan Oceania.

“Peranan Mitsui O.S.K. Lines termasuk mengkaji spesifikasi kapal tangki CO2 cecair dari sudut pandangan keseluruhan rantaian nilai CCUS, dengan tujuan mewujudkan cara pengangkutan laut yang optimum untuk CO2,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mitsui O.S.K. Lines, perkapalan Larvik AS yang berpangkalan di Norway, sebahagiannya dimiliki oleh Mitsui O.S.K. Lines, juga akan menyertai kajian itu dan menyumbangkan kepakaran tentang pengangkutan CO2 cecair yang selamat.

Tambahnya, Larvik telah menguruskan kapal tangki CO2 cecair selama lebih 30 tahun.

“Pengangkutan lautan CO2 cecair memainkan peranan penting dalam menghubungkan tapak tangkapan dan tapak penyimpanan atau penggunaan dengan cekap untuk memastikan penggunaan rantaian nilai CCUS yang paling berkesan.

“Mitsui O.S.K. Lines telah pun memasuki perniagaan pengangkutan laut CO2 cecair melalui pelaburannya di Larvik.

“Mitsui O.S.K. Lines akan mempercepatkan lagi inisiatifnya dalam pengangkutan laut CO2 cecair untuk menyumbang kepada penciptaan masyarakat rendah karbon dan penyahkarbonan,” jelasnya.

Petronas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung MOU berkenaan buat masa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN