PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mencadangkan kepada kerajaan supaya membawa masuk lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke dalam negara.
Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, itu kerana, kejayaan Malaysia untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi setakat ini kurang berkesan berikutan keadaan politik dan langkah pencegahan Covid-19 yang kurang konsisten membuatkan para pelabur lebih berhati-hati.
“Dengan pelaburan berteknologi tinggi, tenaga kerja tempatan yang mempunyai ijazah dan diploma juga boleh digunakan dan dimanfaatkan. Jadi, kita tidak lagi perlu menggunakan tenaga kerja asing yang tidak mahir ” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pelaburan berteknologi tinggi akan memastikan kesan limpahannya memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia.
“Kita sudah lama membicarakan mengenai usaha membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor berteknologi tinggi, namun masih belum nampak usaha bersepadu ke arah itu.
“FDI dalam bidang berintensifkan buruh tidak lagi sesuai untuk negara kita kerana ia lebih menguntungkan pihak pelabur luar yang mengambil kesempatan terhadap kos pengeluaran yang rendah dan memberikan pulangan yang tinggi.
“Oleh itu, kita perlu memastikan usaha yang bersepadu untuk menerima FDI dalam sektor berteknologi tinggi seperti aeroangkasa dan sektor pembuatan yang mengaplikasikan IR 4.0 seperti automasi, robotik dan analisis data besar.
“Selain daripada penyediaan infrastruktur yang sesuai dan berdaya maju, kita juga harus menunjukkan bahawa kita memiliki tenaga buruh yang berkemampuan,” katanya. – UTUSAN










