PETALING JAYA: TH Heavy Engineering Berhad (THHE), anak syarikat Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) mengumumkan pelantikan Ahmad Yusof Mohamad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, berkuat kuasa kelmarin (1 Februari 2022).
Ahmad Yusof mempunyai lebih 40 tahun pengalaman teknikal dan pengurusan di pelbagai peringkat dalam bidang pembinaan kapal, pembaikan kapal serta minyak dan gas.
Beliau yang sebelum ini merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas dalam Lembaga Pengarah THHE sejak Mac 2021 dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif sejak Oktober 2021 telah memainkan peranan penting dalam memacu visi, hala tuju strategik, dasar dan struktur kumpulan.
Baru-baru ini, beliau telah menerajui usaha kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya dan prospek selaras dengan strategi regularisasinya.
Lembaga Pengarah berkata, pihaknya berbesar hati dengan kehadiran Ahmad Yusof untuk memantapkan kumpulan.
“Kami yakin pengalaman dan keupayaannya yang luas sebagai seorang veteran profesional dalam industri akan memberi petanda yang baik untuk kumpulan dalam usaha merancang strategi serta memanfaatkan peluang yang berdaya maju di hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum menyertai THHE, Ahmad Yusof memegang pelbagai jawatan kepimpinan termasuk Ketua Pegawai Operasi Gred Satu Marine Shipyard Sdn. Bhd., Ketua Pegawai Eksekutif MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd. dan Ketua Operasi di Muhibbah Marine Engineering Sdn. Bhd.
Beliau juga pernah berkhidmat di PSC Naval Dockyard Sdn. Bhd., Penang Ship & Construction Sdn. Bhd. serta Malaysia Shipyard and Engineering Sdn. Bhd. – UTUSAN










