AEON catat PAT lebih dua kali ganda kepada RM85.3 juta

AEON catat untung bersih lebih dua kali ganda

ORANG ramai membeli-belah di pasar raya AEON.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON CO. (M) Bhd. (AEON) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) lebih daripada dua kali ganda kepada RM85.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021) daripada RM41.4 juta pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu didorong oleh margin yang lebih luas melalui penambahbaikan strategi pembelian dan peningkatan rundingan, serta pengurusan kos secara berdisiplin, kata syarikat itu dalam kenyataan.

AEON berkata, keputusan kewangan bagi suku keempat 2021 (S4 2021) merekodkan lonjakan sebanyak 161.4 peratus dengan keuntungan bersih kepada RM71 juta berbanding suku yang sama pada TK2020.

“Melalui penyesuaian dengan norma baharu dalam menjalankan perniagaan, Syarikat telah menunjukkan pemulihan di dalam suku tahun yang dikaji dengan mencatatkan pendapatan berjumlah RM992.1 juta, iaitu peningkatan sebanyak 8.3 peratus daripada S4 TK2020,” katanya.

Berdasarkan prestasi Syarikat, pihak Lembaga Pengarah mengumumkan dividen akhir sebanyak 3.0 sen untuk setiap saham awam bagi TK2021 (TK2020:1.5 sen) bersamaan dengan RM42.1 juta atau nisbah pembayaran sebanyak 49 peatus untuk kelulusan pemegang saham.

SHAFIE SHAMSUDDIN

Mengulas pencapaian itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, Syarikat bersyukur di atas keputusan yang dicapai menerusi komitmen dan sokongan daripada AEON Warriors, rakan kongsi perniagaan serta para pelanggan.

AEON katanya, komited untuk memberikan pelbagai perkhidmatan bermutu menerusi operasi peruncitan baharu atau ‘New Retail’ bagi memenuhi kehendak serta corak pembelian para pelanggan yang sentiasa berubah.

“Namun begitu, kami tetap berhati-hati terhadap risiko yang mendatang, terutamanya dengan ketidaktentuan yang menyelubungi kemunculan varian baharu Covid-19, di dalam negara dan di peringkat global,” katanya.

Kata Shafie, dalam AEON terus berusaha ke arah pendigitalan dan peningkatan pengalaman pelanggan melalui pengenalan ‘personal shopper’, perkhidmatan pandu lalu dan myAEON2go untuk menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih selamat, AEON telah diiktiraf sebagai 10 Jenama Terkemuka Malaysia oleh Laporan Kecemerlangan Pengalaman Pelanggan Global KPMG 2021 (KPMG’s Global Customer Experience Excellence 2021 Report).

“Kami akan meneruskan perjalanan transformasi digital kami yang telah berjaya membuktikan keberkesannya dan juga mempertingkatkan lagi kebolehan myAEON2go iaitu platfom e-dagang kami untuk menambahbaik pengalaman pengguna di masa hadapan.

“Berpandukan pendekatan perniagaan ‘Agile, Genba dan Entrepreneurial’ (AGE), kami telah melaksanakan struktur kos yang dipertingkatkan melalui pengurusan organisasi cekap yang dijangka akan menyumbang ke arah keuntungan lebih mampan.

“Dalam meneruskan perjalanan kami untuk menjadi positif alam semula jadi, kami merasa rendah hati kerana dapat menyepadukan tiga teras kelestarian AEON iaitu Manusia, Planet dan Keamanan ke dalam aktiviti-aktiviti utama perniagaan kami bagi mewujudkan Zon Kehidupan AEON (AEON Living Zone) yang menggabungkan Luar Talian dengan Dalam Talian (OMO) secara bersepadu, yang akan dipamerkan di AEON Mall Alpha Angle pada April tahun ini,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN