Varian IHU lonjak saham pengeluar sarung tangan - Utusan Malaysia

Varian IHU lonjak saham pengeluar sarung tangan

getah
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga saham pengeluar sarung tangan getah tempatan, Top Glove Corp. Bhd., Hartalega Holdings Bhd., Kossan Rubber Industries Bhd. dan Supermax Corp. Bhd. melonjak dalam dagangan Bursa Malaysia susulan berita kemunculan varian baharu virus Covid-19 yang dikenali sebagai IHU.

Pada pukul 2.30 petang semalam, saham Hartalega melonjak 25 sen kepada RM5.77, Top Glove melonjak 14 sen kepada RM2.42, Kossan meningkat sembilan sen kepada RM1.96 manakala Supermax meningkat tujuh sen atau kepada RM1.51.

Kenaikan harga saham pengeluar sarung tangan getah itu meningkat kerana dilihat sebagai peralatan perlindungan diri yang penting untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Peningkatan itu juga secara tidak langsung membantu indeks penjagaan kesihatan bursa mendapat peratusan keuntungan tertinggi dalam kalangan indeks bursa.

Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 42.79 mata atau 1.90 peratus kepada 2,303.64 pada pukul 2.30 petang.

Saintis di Perancis mengenal pasti varian baharu IHU yang berpotensi membimbangkan.

Portal berita melaporkan varian baharu iaitu B.1.640.2 setakat ini menjangkiti 12 orang yang tinggal di tenggara Perancis.

Kes pertama dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai sejarah perjalanan ke Cameroon, Afrika Barat, kata penyelidik dalam kertas yang diterbitkan di medRxiv.

Bagaimanapun, pakar segera mengumumkan hanya kerana varian baru ditemukan, itu tidak bermakna IHU akan terbukti menular seperti strain lain, termasuk Omicron.

Kaunter sarung tangan muncul antara saham yang mencuri tumpuan semasa pandemik bermula di seluruh dunia yang mencetuskan sekatan pergerakan menyeluruh.

Bagaimanapun, pembukaan semula aktiviti ekonomi menyebabkan saham sarung tangan bergelut untuk mengekalkan kenaikan sepanjang tahun lalu.

Pengeluar sarung tangan getah tempatan turut melaporkan prestasi kewangan yang bercampur-campur sepanjang tahun lalu, berikutan purata harga jualan yang lebih rendah dan persaingan daripada pengeluar dari negara lain, terutama China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN