
PETALING JAYA: UMW Toyota Motor (UMW) melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Corolla Cross Hybrid serba baharu sebagai sebahagian daripada inisiatif global untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, Toyota Corolla Cross Hybrid Electric adalah kenderaan hibrid pertama UMW yang dipasang di dalam negara berlandaskan platform Seni Bina Global Baharu Toyota (TNGA).
“Memandangkan rakyat Malaysia sememangnya menantikan ketibaan Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) era baharu untuk pengalaman memandu yang lebih mesra alam Toyota Corolla Cross Hybrid Electric merupakan satu lagi kejayaan yang boleh dibanggakan dalam sejarah Toyota.
“Kami percaya pelancaran ini juga akan merintis jalan bagi membangunkan industri pengeluaran kenderaan cekap guna tenaga (EEV) di Malaysia,” katanya.
Menurut Ravindran, sejak Toyota Corolla Cross Hybrid Electric dibuka untuk tempahan pada Oktober tahun lalu, pihaknya telah menerima banyak pesanan, sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia menyokong teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.
“Toyota telah mengenal pasti HEV sebagai penyelesaian pintar yang boleh digunakan oleh rakyat Malaysia demi mencapai masa depan yang lestari,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi, En. Akio Takeyama berkata, sebagai pelopor dalam dunia pengangkutan, Toyota sentiasa meluaskan sempadan teknologi dan mengubah ekosistem pergerakan dengan inovasi era baharu yang sungguh menarik demi menambah baik keupayaan pergerakan insan dan gaya hidup mereka.
“UMW Toyota Motor ialah perintis dalam teknologi Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) sejak 2009 menerusi Prius dan usaha ini diteruskan dengan Prius C dan Camry Hybrid.
“Corolla Cross Hybrid Electric serba baharu yang dilengkapi dengan Sistem Elektrik Hibrid Toyota Generasi keempat untuk meningkatkan kecekapan guna bahan api, melanjutkan daya tahan bateri serta menambah baik pengendalian dan kestabilan,” jelasnya.
Corolla Cross Hybrid Electric baharu boleh didapati dalam lima warna – Celestite Grey Metallic (Metalik Kelabu), Silver Metallic (Metalik Perak), Nebula Blue Metallic (Metalik Biru Nebula), Platinum White Pearl (Putih Mutiara Platinum) dan Red Mica Metallic (Metalik Mika Merah) pada harga jualan bermula daripada RM136,550 (tanpa insurans). – UTUSAN










