HONG KONG: Cathay Pacific Airways Ltd. menawarkan bonus sehingga HK$29,000 (AS$3,700/RM15,484.50) kepada juruterbang yang sanggup menahan rejim kuarantin ketat Hong Kong dalam usaha menerbangkan lebih banyak pesawat.
Kapten (juruterbang) yang menerbangkan dua penerbangan tanpa henti akan mendapat kenaikan bonus HK$22,000 dan jumlah itu meningkat kepada HK$29,000 untuk empat atau lebih penerbangan, menurut memo kakitangan yang dilihat oleh Bloomberg News dan disahkan oleh pejabat akhbar syarikat penerbangan itu.
Pegawai utama pula akan mendapat HK$17,000 untuk dua penerbangan dan HK$24,000 untuk empat penerbangan atau lebih.
Penerbangan tanpa henti atau dipanggil `gelung tertutup’ melibatkan penerbangan yang dikendalikan anak kapal selama tiga hingga empat minggu, pengasingan di hotel antara penerbangan dan kemudian menghabiskan sehingga dua minggu dalam kuarantin pada penghujung penempatan mereka sebelum dibenarkan pulang.
Keadaan itu yang membebankan kru penerbangan kerana tidak dapat bersama keluarga dan rakan-rakan dalam tempoh yang lama, telah menyukarkan Cathay untuk menyediakan kakitangan yang cukup bagi mengendalikan perkhidmatannya.
Cathay Pacific dalam satu kenyataan kelmarin berkata, bagi juruterbang yang mendaftar untuk senarai `gelung tertutup’, “syarikat telah menambah peluang untuk mereka mempunyai lebih banyak masa terbang selepas melengkapkan penerbangan, mengemas kini imbuhan mereka dengan mengambil kira perubahan dalam jadual dan operasi kami.”
“Menggalakkan lebih ramai juruterbang untuk mendaftar dalam senarai `gelung tertutup’ akan membolehkan kami menyebarkan tugas terbang kepada lebih ramai juruterbang sambil terus memastikan Hong Kong sentiasa berhubung dengan dunia,” tambahnya.
Cathay Pacific telah beralih daripada krisis protes prodemokrasi 2019 yang mencetuskan rombakan pengurusan, kepada pandemik selama dua tahun yang telah melumpuhkan syarikat penerbangan itu.
Tanpa pasaran domestik, dan Hong Kong sebahagian besarnya terasing dari dunia luar akibat dasar Zero Covid yang ketat, syarikat penerbangan itu terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan berjumlah HK$39 bilion dan memberhentikan 6,000 pekerja untuk terus ‘hidup.’
Syarikat penerbangan itu hanya beroperasi dalam kapasiti 2 peratus daripada kapasiti penumpang pra-pandemik dan 20 peratus daripada kapasiti kargo pra-Covid, paras terendah sejak permulaan wabak berkenaan. – AGENSI










