PETALING JAYA: Sunway REIT mencatatkan peningkatan 64.8 peratus untuk pendapatan kasar kepada RM157.8 juta pada suku keenam tahun kewangan 2021 (6Q FY21) berbanding RM95.8 juta pada 2Q FY2021.
Menurut Sunway REIT, peningkatan itu disumbang oleh pendapatan kasar yang lebih tinggi daripada semua segmen dan pengiktirafan pendapatan pajakan belum direalisasikan sebanyak RM19.6 juta di bawah Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS).
“Itu tidak termasuk pajakan belum direalisasikan yang belum di bil, hasil kasar meningkat 44.3 peratus pada 6Q FY2021 berbanding 2Q FY2021.
“Selaras dengan itu, pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat 86.5 peratus pada 6Q FY2021 berbanding 2Q FY2021, kepada RM123.1 juta.
“Pendapatan direalisasikan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM72.7 juta bagi suku tahun dalam tempoh tinjauan itu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut syarikat itu, bagi suku dalam tinjauan itu, hasil kasar bagi segmen runcit meningkat 62.7 peratus kepada RM92.4 juta berbanding RM56.8 juta pada 2Q FY2021.
Prestasi kewangan yang bertambah baik adalah disebabkan oleh pemulihan menggalakkan dalam jumlah jualan runcit berikutan pelonggaran sekatan perjalanan.
Jualan runcit telah kembali normal berbanding pra Covid-19 pada akhir 6Q FY2021. NPI melonjak hampir dua kali ganda kepada RM65.8 juta pada suku tersebut berbanding RM33.9 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Segmen hotel turut mencatatkan peningkatan dalam pendapatan kasar sebanyak 24.0 peratus pada 6Q FY2021 berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
Prestasi yang lebih baik itu disebabkan oleh pemansuhan sekatan perjalanan antara negeri dan penyambungan semula mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) secara beransur-ansur.
NPI bagi segmen hotel meningkat 28.3 peratus kepada RM8.5 juta pada 6Q FY2021 daripada RM6.6 juta pada suku sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT, Datuk Jeffrey Ng berkata, pihaknya sangat gembira jualan runcit untuk Sunway REIT telah kembali kepada keadaan normal 100 peratus menjelang akhir 6Q FY2021 dengan momentum berterusan.
“Sunway REIT menjangka prestasi perniagaan akan bertambah baik pada tahun kewangan 2022, disokong dengan pembukaan semula semua sektor ekonomi, pertumbuhan ekonomi yang sihat, kemajuan yang positif dalam kadar penggalak vaksinasi, pembukaan semula Hotel Sunway Resort dan sumbangan pendapatan baharu daripada pembesaran Sunway Carnival Shopping Mall yang sudah selesai.
“Sunway REIT kini berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pemerolehan yang mungkin akan hadir untuk mengembangkan portfolio aset kami selaras dengan rancangan pertumbuhan jangka sederhana,” katanya. – UTUSAN










