Sidec pacu Selangor jadi hab digital - Utusan Malaysia

Sidec pacu Selangor jadi hab digital

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara Sidec dan CTDK Holdings sambil disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) telah menyalurkan RM5 juta geran padanan digitalisasi kepada 1,048 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak April tahun lalu.

Menurut Sidec, melalui geran itu, PKS boleh memperoleh geran padanan sehingga RM5,000 untuk menggalakkan mereka mengambil langkah pertama dalam mendigitalkan perniagaan.

Katanya, sehingga akhir Oktober lalu , sebanyak 1,047 PKS telah berjaya mendigitalkan perniagaan mereka dalam 5 bidang utama iaitu Sistem HR & Gaji, Perakaunan Awan, Pemasaran Digital, e-Dagang dan Gerbang Pembayaran.

“Hasilnya, kebanyakan PKS yang terbabit dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, F&B, peruncitan/perdagangan, pendidikan dan logistik telah menyaksikan peningkatan jualan dan meminimumkan kos operasi,” katanya dalam kenyataan.

Sidec berkata, pihaknya akan terus memperkukuh dan mengembangkan ekosistem digital Selangor untuk PKS bagi mengurangkan jurang digital untuk perniagaan dengan melahirkan bakat digital dan mempercepatkan syarikat pemula tempatan menjadi ikon teknologi serantau.

Jelasnya, PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dengan 98.5 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS dan daripada jumlah itu, Selangor mempunyai bilangan PKS tertinggi iaitu 19.8 peratus.

“Walaupun mewakili segmen ekonomi yang besar, sebahagian besar PKS masih ketinggalan dalam perlumbaan ke arah digital ketika penularan Covid-19 kerana sebahagian daripada mereka mempunyai tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah tentang pembiayaan dan teknologi berkaitan transformasi digital perniagaan.

“Kekurangan kemahiran pendigitalan dalam kalangan PKS, iaitu jualan dan pemasaran, pengurusan perniagaan dan kemahiran teknikal teknologi maklumat (IT), akan terus menjadi penghalang kepada potensi perniagaan dan ekonomi.

“Berdasarkan keadaan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia, sebanyak 75 peratus penduduk memiliki kemahiran asas ICT dan hanya 15 pratus dilengkapi dengan kemahiran ICT lanjutan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, berbanding Filipina, Vietnam dan Singapura, kadar penggunaan digital di sini berada pada kadar kemajuan yang perlahan sehingga negara ketinggalan berbanding negara jiran.

“Oleh itu, lebih banyak bantuan perlu diberikan kepada PKS tempatan dalam perlumbaan digital ini.

“Sebagai agensi kerajaan yang diberi mandat, Sidec komited untuk mencipta ekosistem digital yang inovatif yang akan memberi inspirasi kepada bakat baharu dalam pendigitalan yang akan membantu membina syarikat teknologi serantau berdaya saing yang akhirnya mendorong Selangor menjadi hab digital Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN