RM9 juta bangunkan usahawan desa di Ketengah - Utusan Malaysia

RM9 juta bangunkan usahawan desa di Ketengah

TENGKU Ahmad Nadzri Tengku Musa (kanan) melihat produk-produk usahawan Ketengah yang dipasarkan di Kedai Mart, stesen minyak Petron Pengkalan Gawi, di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi Program Pembangunan Keusahawanan Desa di wilayah berkenaan dalam tempoh lima tahun hingga 2025.

Pengurus Besarnya, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, program pembangunan itu memfokuskan kepada kursus dan latihan, bantuan input peralatan, pembungkusan dan pelabelan di samping menaik taraf premis.

Katanya, inisiatif berke­naan tepat kerana bidang keusahawanan terbukti berkesan dalam membangunkan sosio­ekonomi, meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan masyarakat luar bandar.

“Sehubungan itu, Ke­tengah menjalankan perkongsian pintar antara usahawan luar bandar dengan pihak swasta bagi meningkatkan jaringan dan rantaian pemasaran yang lebih meluas.

“Antaranya termasuk memperkenalkan ruang pasaran baharu kepada para usahawan bimbingan Ketengah melalui perniagaan dalam Kedai Mart di stesen-stesen minyak Petron,” katanya selepas melancarkan produk usahawan ketengah di stesen minyak Petron Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir di sini, semalam.

Tengku Ahmad Nadzri berkata, sebagai permulaan sebanyak 35 produk hasil keluaran 10 usahawan wilayah Ketengah ditempatkan di stesen minyak Petron berkenaan.

Katanya, sebanyak 10 lagi stesen minyak sama disasarkan bagi menempatkan produk usahawan Ketengah, tahun ini.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, terdapat kira-kira 1,500 usahawan di wilayah Ketengah yang dibimbing dari semasa ke semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN