PETALING JAYA: Pelanggan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) bakal mempunyai lebih banyak pilihan untuk membayar tol termasuk transaksi tol menggunakan teknologi RFID yang diperluaskan ke laluan Juru hingga Skudai di lebuh raya tersebut mulai pukul 10 malam esok.
Dengan pelaksanaan tersebut, semua 83 plaza tol di lebuh raya PLUS menyediakan sekurang-kurangnya satu lorong RFID untuk membolehkan pelanggan melengkapkan transaksi tol mereka.
Ini bermakna, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) mempunyai lebih pilihan sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID untuk membayar tol.
Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pelanggan RFID Touch ‘n Go yang telah menggunakan kaedah tersebut untuk membayar tol di lebuh raya lain sebelum ini boleh menggunakan teknologi tersebut secara menyeluruh di lebuh raya PLUS.
“Dengan pelaksanaan ini juga, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) lebuh raya PLUS kini boleh beralih kepada RFID untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, tanpa sentuh dan menggunakan transaksi e-Dompet,” katanya dalam kenyataan.
Buat masa ini, terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuh raya telah menggunakan RFID Touch ‘n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuh raya lain khususnya di Lembah Klang.
Pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara (rujuk laman web Touch ‘n Go https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-
centres ) dan juga secara atas talian.
Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung RFID dan bagaimana ia boleh membantu mereka menikmati perjalanan lebuh raya dengan lancar di http://rfid.plus.com.my. – UTUSAN










