RCEP: Sediakan pelan yang jelas - Utusan Malaysia

RCEP: Sediakan pelan yang jelas

BERSEDIAKAH PKS tempatan untuk mendepani persaingan selepas RCEP dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2022?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemulihan ekonomi dunia yang berlaku serentak dengan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) memberikan kesan yang amat positif kepada ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, RCEP dapat membantu negara dalam menarik pelaburan asing (FDI) secara langsung sama ada dari negara yang terlibat dalam RCEP itu sendiri ataupun tidak.

“Itu adalah antara kebaikan RCEP kepada Malaysia, apatah lagi semasa kita sedang bersaing sengit dengan negara ASEAN yang lain untuk menarik FDI memandangkan kita telah mengalami penurunan sejak beberapa tahun lalu.

“RCEP itu juga akan menyokong pertumbuhan sektor-sektor ekonomi yang cemerlang seperti pengeluaran barangan semikonduktor, sarung tangan dan pakaian perlindungan diri (PPE) seperti yang dinikmati negara sejak awal 2020.

“Mungkin akan ada lagi FDI yang turut menyertai sumbangan Malaysia sebagai pembekal utama dunia untuk semikonduktor dan sarung tangan,” katanya.

Bagi kesan negatif pula, ujarnya, mungkin kemasukan syarikat-syarikat asing terutamanya dari negara-negara anggota RCEP akan memberi tekanan dan bersaing dengan syarikat-syarikat dari Malaysia dalam semua sektor industri.

Jelasnya, itu mungkin akan menjejaskan perniagaan-perniagaan tempatan yang selama ini mendominasi sektor-sektor tertentu dalam ekonomi negara.

Tambah beliau, dasar negara seperti pemilikan warga asing dan penyertaan warga tempatan termasuk ekuiti bumiputera mungkin akan mengalami tekanan di masa depan.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh lari daripada perubahan ekonomi global yang mengalami perubahan drastik terutamanya selepas Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu.

“Kita tidak mahu Malaysia terperangkap dalam pendapatan per kapita yang tidak berubah-ubah untuk beberapa tahun, malah menurun sejak pandemik melanda.

“Justeru, satu langkah yang drastik perlu dilakukan dan penyertaan RCEP adalah antara langkah awal dalam mengubah pelbagai model bisnes dalam negara.

“Agensi-agensi kerajaan perlu menyediakan pelan yang jelas kepada komuniti perniagaan di Malaysia terhadap perubahan RCEP kepada Malaysia kelak,” katanya.

Malaysia akan menyertai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) selepas menyerahkan surat cara ratifikasi (IOR) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, IOR berkenaan dihantar menerusi mandat yang diberikan oleh Jemaah Menteri pada 12 Januari 2022 untuk Malaysia meratifikasi RCEP.

“Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, Malaysia akan menyertai 11 negara penandatangan lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN