
MUKADIMAH
Sukan elektronik atau e-sukan semakin berkembang pesat di dalam dan luar negara. Kemajuan sukan itu selaras dengan pembangunan pesat platform telekomunikasi.
Pembangunan sukan terbabit telah mencetuskan pelbagai inisiatif oleh syarikat telekomunikasi seperti penganjuran pertandingan di pelbagai peringkat bagi mencungkil bakat tempatan.
Yoodo adalah antara syarikat telekomuniasi yang turut terlibat dalam sukan elektronik berkenaan.
Dalam temubual melalui e-mel bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkongsi pandangan beliau mengenai perkembangan syarikat, perancangan tahun ini
dan prospek e-sukan di dalam negara.

UTUSAN: Boleh anda kongsikan latar belakang Yoodo, sejak bila mula beroperasi dan apakah teras perniagaan?
CHOW TUCK MUN: Yoodo diasaskan pada 2018 dengan satu matlamat mudah: untuk mengembalikan kebebasan untuk memilih kepada pengguna. Yoodo, yang dikuasakan oleh Celcom, adalah syarikat telekomunikasi 100 peratus digital pertama di Malaysia yang menawarkan kebolehan untuk pengguna menyesuaikan penggunaan data serta pelan mudah alih mengikut gaya hidup mereka. Para pengguna juga boleh memilih jumlah data, minit panggilan dan SMS mengikut kemahuan mereka.
Selain itu, Yoodo juga menawarkan add-on yang merupakan paket data tambahan untuk aplikasi tertentu, yang merangkumi pelbagai kategori termasuk permainan mudah alih, muzik, dan hiburan. Melalui pembelian add-on, penggunaan data untuk aplikasi pilihan pengguna tidak akan ditolak dari pelan data mudah alih utama mereka.
Yoodo juga menawarkan pengalaman unik 100 peratus digital di mana sesiapa sahaja boleh mula menggunakan Yoodo hanya dengan memuat turun aplikasi Yoodo (boleh didapati di Google Playstore, Apple App Store, dan Huawei App Gallery), mendaftar untuk perkhidmatan dan memesan kad SIM yang akan dihantar kepada mereka secara percuma. Mereka yang memiliki telefon bimbit dengan ciri eSIM, boleh terus menggunakan perkhidmatan Yoodo selepas beberapa minit sahaja.
Kenapa memilih bidang e-sukan?
Yoodo sentiasa ingin memperkasakan belia Malaysia menerusi mengupayakan penglibatan mereka dalam apa jua bidang yang mereka minati. Ini merupakan kelebihan kami berbanding syarikat telco tradisional, sekali gus membantu membina jenama yang serasi dengan Gen Y dan Gen Z.
E-sukan merupakan salah satu segmen berpotensi tinggi yang telah kami kenal pasti sejak dari awal lagi. Komuniti e-sukan di Malaysia sedang berkembang dengan pesat. Ahli komuniti ini pula, bersemangat tinggi dan interaksi sesama mereka amat tinggi. Terdapat ramai pengamal yang berbakat tinggi dalam industri ini: pemain, pengulas, pencipta kandungan, sehinggalah ke pembangun permainan mudah alih.
Sebab itulah Yoodo sentiasa berusaha untuk meningkatkan komitmen kami dalam industri ini melalui pasukan dan pertandingan e-sukan, serta pelbagai usahasama sejak 2018.
Bagaimanakah prestasi Yoodo pada 2021 dengan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan pada awal tahun itu?
Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi digital sepenuhnya, Yoodo mampu menyesuaikan diri dengan perubahan perjalanan pelanggan rentetan kesan daripada permulaan pandemik dari 2020. Para pelanggan kami masih boleh mendapatkan kad SIM Yoodo kerana penghantaran SIM masih beroperasi sepenuhnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan. Kami juga memastikan para pelanggan dapat menghubungi bahagian Khidmat Pelanggan secara selamat dari kediaman mereka melalui kemudahan Live Chat kami, yang kemudiannya ditambah baik melalui pelancaran talian Whatsapp khas.
2021 juga merupakan tahun yang penuh berperistiwa bagi Yoodo dengan pelancaran beberapa tawaran produk inovatif sepanjang tahun, termasuklah:
- Add-on baharu: Untuk membantu ramai pengguna yang masih bekerja dari rumah, kami mula menawarkan 20GB Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams pada harga berpatutan RM3, ke dalam senarai add-on sedia ada.
- Booster Add-On: Para pengguna kini boleh membeli add-on untuk hiburan, kerja, media sosial dan banyak lagi, pada bila-bila masa mereka mahukan. Sebelum ini, pengguna hanya dapat membeli add-on hanya pada penghujung kitaran bil bulanan mereka.
- Power Pass 12 Jam: Bagi pengguna yang memerlukan peningkatan jumlah data, kami telah menambahkan pilihan di mana mereka boleh membeli 100GB data kelajuan tinggi untuk 12 jam.
Kami juga meneruskan usaha untuk mempertingkatkan serta memperkembangkan penglibatan kami dalam industri e-sukan di Malaysia melalui pelbagai usahasama serta pertandingan e-sukan seawal Februari 2021 lagi: - Rakan kongsi: Kami memeterai perjanjian dengan RSG MY, yang membawa kepada penubuhan Yoodo RSG Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan Call of Duty: Mobile; diikuti perjanjian dengan organisasi e-sukan antarabangsa, Alliance, untuk mendirikan pasukan PUBG Mobile kami sendiri. Saya amat bangga untuk menyatakan bahawa pasukan-pasukan ini telah mengharungi tahun 2020 dengan cemerlang melalui kemenangan yang telah dicapai.
- Usahasama: Yoodo meneruskan usahasama dengan penerbit permainan terkemuka di dunia seperti Tencent Games dan Moonton, untuk pertandingan seperti PUBG Mobile National Championship (PMNC) dan MLBB Professional League (MPL). Kami juga meneruskan misi untuk menyokong bakat e-sukan Malaysia dari akar umbi melalui penganjuran PUBG Mobile Campus Championship (PMCC) untuk tahun ketiga berturut-turut.
Apakah sasaran Yoodo untuk 2022?
Kami telah mengatur beberapa inisiatif bagi 2022, bermula dengan perkembangan serta penginovasian tawaran produk kami kepada para pengguna. Kami juga akan meningkatkan penglibatan dalam segmen gaya hidup – e-sukan, K-Pop, muzik dan hiburan. Di samping itu, kami akan menjadikan Yoodo lebih mudah diakses oleh bakal pelanggan kami dengan pengembangan berterusan lokasi-lokasi untuk mendapatkan kad SIM kami di seluruh Malaysia.

Yoodo sangat terlibat dalam bidang e-sukan. Dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta ditetapkan untuk industri tahun depan, bagaimanakah anda merancang untuk menyokong pengumuman ini?
Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi yang komited memperkasakan belia Malaysia melalui e-sukan tempatan, kami mengalu-alukan peruntukan serta sokongan kerajaan kepada industri tersebut. Malaysia mempunyai ramai pemain serta pencipta kandungan yang berbakat di setiap peringkat dan kami gembira melihat industri e-sukan mendapat pengiktirafan dan sokongan.
Bagi Yoodo, kami akan terus menyediakan perhubungan konsisten buat pemain serta membangunkan komuniti melalui peningkatan usahasama bersama pencipta kandungan e-sukan tempatan dan organisasi bertaraf dunia. Usaha kami bermatlamat ke arah memangkin industri e-sukan Malaysia ke taraf yang lebih tinggi, dan kami yakin, dengan sokongan kerajaan, visi ini akan dapat dicapai bersama.
Bagaimana anda melihat perkembangan industri e-sukan di Malaysia pada masa ini dan tahun-tahun akan datang?
Industri e-sukan di Malaysia merupakan satu segmen yang amat berpotensi tinggi. Banyak bakat yang masih menanti untuk dicungkil melalui saluran yang sesuai. Oleh itu Yoodo sentiasa berusaha untuk meningkatkan industri ini dari peringkat akar umbi melalui pertandingan yang memberi peluang kepada pemain e-sukan di peringkat kolej untuk mempamerkan kebolehan mereka, seperti PUBG Mobile Campus Championship.
Perkembangan industri e-sukan tempatan juga telah mula menarik perhatian antarabangsa. Organisasi dan pasukan e-sukan sejagat mula menapak ke negara kita. Tahun lepas, Yoodo memeterai perkongsian dengan Alliance, sebuah organisasi e-sukan antarabangsa dari Sweden. Ini adalah petanda bahawa penggiat e-sukan peringkat global menyasar dan ingin melabur secara aktif dalam membangunkan bakat tempatan.
Bagaimana dengan persaingan di peringkat domestik dan antarabangsa?
Tentunya ada persaingan sihat di peringkat domestik. Sejak 2018, Yoodo telah menjadi sebahagian daripada pertandingan e-sukan – antaranya PUBG Mobile Professional League, PUBG Mobile National Championship, PUBG Mobile Campus Championship, Mobile Legends: Bang Bang – dan kami sentiasa melihat bakat dan persaingan yang menakjubkan dibawa oleh pemain Malaysia pada setiap pertandingan.
Para pemain Malaysia juga telah membuktikan kehandalan mereka di peringkat antarabangsa. Pada 2021, pemain Malaysia telah berjaya mara ke pentas dunia – contohnya pasukan PUBG Mobile baharu kami, Yoodo Alliance-4Rivals, akan bertarung di Grand Finals PUBG Mobile Global Championship yang akan datang. Para pemain ini telah berulang kali membuktikan bahawa dengan peluang dan sokongan yang diberikan, mereka tentunya akan bersinar.
Yoodo bersedia memberikan peluang kepada mereka dan kami menggalakkan entiti-entiti lain untuk menyertai kami dalam menaikkan martabat industri ini. Dengan struktur dan sokongan yang padu, kami percaya bahawa pemain kita mampu untuk meletakkan Malaysia di peta dunia.
Bolehkah industri ini pergi lebih jauh di Malaysia?
Sudah tentu! Seperti yang dikatakan, Malaysia sudah pun mendapat pengiktirafan dari organisasi e-sukan serantau dan global, dan kami yakin perhatian ini akan bertambah dengan berkembangnya industri ini.
Pelaburan ke dalam industri ini, sama ada melalui usahasama seperti Yoodo dengan Alliance, atau apabila lebih banyak pasukan e-sukan mendapat tajaan, pasti akan dapat menaikkan industri dan membantunya mencapai tahap dan kejayaan yang lebih tinggi.
Kami percaya bahawa industri ini mempunyai masa depan yang cerah dan akan terus berkembang.
Harapan anda dalam industri ini?
Industri e-sukan di Malaysia sangat aktif dan pengamalnya penuh semangat. Oleh itu, Yoodo komited untuk terus menyokong bakat tempatan.
Kami berharap akan ada lebih banyak lagi organisasi tempatan yang akan memberikan sokongan kepada komuniti ini. Untuk industri terus berkembang dan bersinar, adalah amat penting untuk kesemua pihak yang terlibat – organisasi e-sukan, pihak swasta dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bekerjasama untuk meningkatkan lagi ekosistem e-sukan tempatan.
Kami juga ingin melihat peningkatan tahap profesionalisme dalam ekosistem ini.
Pembangunan organisasi bagi mentadbir bakat-bakat dan sesebuah pasukan haruslah dijalan dengan betul.
Sebagai contoh, setiap pemain, jurulatih atau pengurus harus fokus 100 peratus pada peranan mereka secara menyeluruh. Berbanding seseorang yang memegang pelbagai peranan pastinya tidak akan mampu memberikan fokus 100 peratus semasa menjalankan tugasan yang dipikul dengan jayanya.
Akhirnya, kami ingin melihat industri ini berkembang ke tahap di mana kerjaya dalam e-sukan dilihat sebagai kerjaya yang mampan. Seseorang boleh menyertai dan berjaya sebagai pemain, dan seterusnya mungkin beralih menjadi seorang jurulatih atau pengurus.
Yoodo akan terus memainkan peranan kami dalam membawa rakyat Malaysia aksi e-sukan yang hebat pada masa hadapan, dan kami berharap mendapat sokongan anda di setiap langkah. – UTUSAN










