Petronas, Sarawak Shell teroka teknologi CCS - Utusan Malaysia

Petronas, Sarawak Shell teroka teknologi CCS

MAJLIS menandatangani kerjasama antara Petronas dan Sarawak Shell dalam bidang CCS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memeterai perjanjian kajian bersama dan usaha sama (JSCA) dengan Sarawak Shell Berhad (Shell) untuk meneroka peluang serta kerjasama projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) seterusnya menyediakan penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2) di Malaysia dan serantau.

Di bawah JSCA berkenaan, Petronas dan Shell akan melaksanakan kajian Pelan Pembangunan Kawasan CCS bersepadu untuk menyokong matlamat penyahkarbonan kedua-dua pihak di lokasi luar pesisir Sarawak.

Skop perjanjian itu termasuk meneroka penyediaan perkhidmatan penyahkarbonan kepada kemudahan tempatan dan rentas sempadan Shell, selain kepada potensi pelanggan serantau yang lain.

Hasil kajian akan memberikan pilihan dalam bidang yang berpotensi untuk kerjasama selanjutnya.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli mewakili syarikat dalam pemeteraian perjanjian tersebut manakala Shell diwakili oleh Pengerusi Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Ivan Tan.

Mengulas mengenai perjanjian itu, Adif berkata, Petronas telah menjalin kerjasama jangka panjang dengan Shell dan yakin kerjasama terbaharu itu akan memberi inspirasi kepada lebih banyak inovasi ke arah mengurus pelepasan karbon.

Jelasnya, kerjasama itu juga bakal meningkatkan matlamat bersama kami untuk menyampaikan penyelesaian tenaga dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan.

“Selain itu, kerjasama ini menggariskan usaha berterusan Petronas untuk meneroka peluang perkongsian dalam CCS. Kami akan meneruskan usaha ini untuk membuka peluang yang berpotensi membantu mengurangkan pelepasan dan mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih.

“Ini adalah satu daripada pelbagai usaha untuk meletakkan dan mewujudkan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini,” tambahnya.

Sementara itu, Ivan berkata, kerjasama ini merupakan langkah pertama yang penting dalam memanfaatkan potensi CCS sebagai penyelesaian penyahkarbonan untuk Malaysia dan rantau ini, dalam usaha mencapai matlamat Perjanjian Paris bagi mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah celsius.

“Peralihan kepada sistem tenaga karbon rendah memerlukan kerjasama yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami percaya perkongsian ini akan memanfaatkan keupayaan kami untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian CCS dipacu teknologi yang boleh dipercayai yang boleh menyahkarbonkan operasi kita sendiri sementara mengurangkan pelepasan di Malaysia dengan ketara,” jelasnya.

Pada November lalu, Petronas memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. untuk meneroka peluang dalam teknologi CCS bagi menyokong penyahkarbonan dalam industri huluang Malaysia, selain menyediakan penyelesaian simpanan karbon dioksida di rantau ini.

Bulan lalu pula, satu MoU dimeterai bersama POSCO International Corporation dan POSCO Engineering & Construction Co. Ltd. untuk menilai peluang membuka nilai potensi CCS selain mengenal pasti teknologi bersesuaian dalam skop perangkap karbon, pengangkutan karbon dioksida serta simpanannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN