Petronas kekal jenama ASEAN paling bernilai - Utusan Malaysia

Petronas kekal jenama ASEAN paling bernilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas telah mengekalkan kedudukannya sebagai jenama ASEAN paling bernilai dalam laporan Brand Finance Global 500 tahun ini.

Menurut syarikat minyak nasional itu, Kumpulan juga kekal dalam kalangan 10 jenama minyak dan gas (O&G) teratas di seluruh dunia.

Indeks Kekuatan Jenama (BSI) Petronas turut meningkat daripada 87 pada tahun lalu kepada 87.7 tahun ini.

Indeks itu dinilai berdasarkan prestasi jenama dalam langkah tidak ketara berbanding pesaingnya.

Brand Finance meletakkan kedudukan Petronas itu berdasarkan kepada prestasi jenama yang konsisten menyumbang kepada nilai jenama sebanyak AS$13.6 bilion (RM56.97 bilion) meningkat 13 peratus berbanding tahun lalu sebanyak AS$12 bilion (RM50.27 bilion).

Pencapaian itu juga didorong oleh peningkatan dalam permintaan tenaga apabila ekonomi global pulih pasca pandemik Covid-19.

Brand Finance mempertimbangkan tiga komponen utama dalam mengira nilai sesuatu jenama iaitu kekuatan jenama, perniagaan dan ekonomi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas berterima kasih ke atas pengiktirafan yang berterusan sebagai jenama ASEAN yang paling berharga.

“Pengiktirafan itu adalah bukti kukuh kepada usaha berterusan Petronas untuk menjadi rakan kongsi dan penyelesaian tenaga yang progresif.

“Kami kekal komited untuk menyediakan pelanggan kami akses kepada tenaga yang lebih bersih, mampu milik dan selamat sambil kami berusaha ke arah masa depan yang mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN