GEORGETOWN : AirAsia Group mengumumkan pelantikan pengasas Delivereat, Tan Suan Sear sebagai Ketua Kumpulan Airasia Food di bawah Airasia Super App.
Pelantikan itu susulan kejayaan pengambilalihan platform perkhidmatan penghantaran makanan, Delivereat dengan nilai AS$9.8 juta (RM40.93 juta) pada Ogos 2021.
Suan Sear akan bertanggungjawab untuk memacu pertumbuhan perkhidmatan penghantaran makanan di platform Airasia Super App di seluruh Malaysia serta rancangan perkembangannya di seluruh ASEAN sejajar dengan visi digital syarikat.
Selain itu, isteri kepada Suan Sear, Leong Shir Mein dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Atas Permintaan untuk cabang logistik AirAsia, Teleport.
Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya teruja dan mengalu-alukan penyertaan Suan Sear dan Shir Mein dalam pasukan AirAsia Group.
“Mereka mempunyai pengalaman luas dan kesungguhan tinggi yang akan membantu strategi kami untuk terus menawarkan perkhidmatan kepada semua golongan dan menjadi platform penghantaran makanan dengan nilai terbaik di ASEAN.
“Sama seperti Pengasas Dacsee, Lim Chiew Shan yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Ride, langkah ini menyerlahkan komitmen AirAsia Group untuk memperoleh dan memupuk bakat tempatan dengan membawa mereka yang berpengalaman ke dalam industri,” katanya pada majlis pengumuman pelantikan Suan Sear di Straits Quay, di sini hari ini.
Delivereat meliputi Pulau Pinang dan Lembah Klang, dan menerajui ruang penghantaran makanan dengan pilihan penjaja terbesar di Pulau Pinang.
Ia merangkumi kira-kira 1,000 penjaja dan merupakan syarikat penghantaran pertama yang membenarkan pelanggan menggabungkan beberapa pesanan dalam satu penghantaran sama.
Menurut Tony, beliau percaya inisiatif itu akan mengukuhkan dan mendorong kejayaan cabang digital syarikat, seperti laporan Credit Suisse yang mengiktiraf Airasia sebagai salah satu daripada tiga Unicorn ASEAN yang berpangkalan di Malaysia. – UTUSAN










