Pelan Tindakan 2022 tetapkan hala tuju Kementerian Pertahanan terus cemerlang - Utusan Malaysia

Pelan Tindakan 2022 tetapkan hala tuju Kementerian Pertahanan terus cemerlang

HISHAMMUDDIN Tun Hussein menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir, Jegatheesan Ratnam (dua dari kanan) pada Amanat Menteri Kanan Pertahanan 2022 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua dari kiri). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELANGKAH Tahun 2022, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya kini bersiap sedia dengan segala rancangan serta tindakan termasuk Pelan Tindakan 2022 bagi menghadapi sebarang kemungkinan serta menetapkan hala taju agar terus cemerlang.

Menerusi pelan yang dirangka barisan kepimpinan ATM dan kementerian ini, segala aspek akan disentuh dan bukan hanya terhad kepada dasar pertahanan, peralatan atau peperangan semata-mata.

Sebaliknya, aspek kebajikan anggota, veteran ATM dan masyarakat awam turut dirangka bagi memastikan matlamat untuk menjadi sebuah kementerian berkredibiliti tercapai

Terbaharu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengumumkan lapan teras Pelan Tindakan 2022 merangkumi aspek Kebajikan; Kesiagaan dan Keupayaan; Kerjasama Pertahanan Antarabangsa; Pemerkasaan Veteran ATM; Kompetensi Pertahanan; Kerjasama Awam-Tentera; Industri Pertahanan Nasional dan Kesiagaan Terhadap Krisis Berskala Besar.

Menurut Hishammuddin, perumahan antara yang paling penting dibawah aspek kebajikan kerana ia akan dinikmati semua sama ada ada isteri, anak-anak atau anggota itu sendiri.
Malah kementerian itu akan melaksanakan Blueprint Perumahan 3.0 MINDEF yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Di bawah Blueprint Perumahan 3.0, sebanyak 12,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baru bakal dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

“Bagi 2022 sahaja, dijangka tujuh projek pembinaan RKMAT akan siap membabitkan enam negeri iaitu Kedah (RKMAT Tok Jalai), Perlis (RKMAT Kem Oran), Kelantan (RKMAT Kem Tumbi), Johor (RKMAT Segamat), Sarawak (membabitkan 2 kem iaitu RKMAT Pakit dan RKMAT Miri) dan Pahang (RKMAT Kem Bera),” katanya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira baru-baru ini.

HISHAMMUDDIN Tun Hussein menyerahkan sumbangan test kit Covid-19 kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn, Noraizah Shaharuddin. Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Di samping itu, Hishammuddin turut mengumumkan lebih banyak rumah di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) akan dibina.

“Tiga lokasi telah dikenal pasti iaitu di Kem Transmitter Sungai Besi, Kem Wardieburn, Setapak dan Kem Genting Klang. Malah, projek SASaR di Kem Transmitter Sungai Besi telah bermula pada 1 Jun 2021 dan dijangka siap pada 2025.

Bagi veteran ATM pula, Hishammuddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.59 juta bagi membaik pulih dan membina kira-kira 100 buah rumah veteran ATM menerusi Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM yang dahulunya dikenali sebagai 1Malaysia Veteran Home Repair Programme (1MVHRP).

Selain itu, sebanyak 275 Projek Jiwa Murni dijangka dilaksanakan di Semenanjung Malaysia yang turut akan memanfaatkan lebih ramai veteran ATM.

Hishammuddin dalam masa yang sama turut berkata, Tabung Persaraan yang diuruskan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan bagi memelihara tabung persaraan.

Perkara tersebut akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini juga dan akan diberi perhatian penuh kepada cadangan pindaan ini sehingga ia lulus dan dilaksanakan.

Bagi aspek kesiagaan dan keupayaan pula, Hishammuddin berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memperoleh beberapa aset tahun ini antaranya 31 unit kereta perisai 8×8 Gempita dan tujuh unit Pendekar.

“Keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga akan terus diperkukuhkan dengan empat kapal pesisir pantai LMS Rencong ditauliah pada 28 Januari ini sekali gus menjadikan kesemua empat kapal kelas berkenaan selesai diterima.

“TLDM juga akan menerima tiga buah pesawat atau helikopter operasi maritim (HOM) AW 139 daripada Itali bermula Mac.Kita juga akan memulakan perancangan khusus bagi melaksanakan perolehan lapan buah LMS baharu menerusi batch kedua,” ujarnya.

Mengulas pengukuhan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kementerian itu akan meningkatkan keupayaan Maritime Surveillance Aircraft (MSA) terhadap tiga pesawat CN235-200, meningkatkan keupayaan F/A18D melalui program Service Life Extension Program (SLEP) dan pesawat Airbus A400M melalui pendekatan Retro fit New SOC 2.5.

HISHAMMUDDIN Tun Hussein (dua dari kanan) memakaikan beg sekolah kepada Nur Fatihah Dek Lukman (tengah) ketika menyerahkan sumbangan ‘Back To School’ pada Amanat Menteri Kanan Pertahanan 2022 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Dalam perkembangan lain, beliau yang mengulas berkenaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) berkata, perancangan pada masa hadapan adalah menyediakan Pelan Pemulihan LCS, mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan pembentangan kepada kerajaan Pelan Pemulihan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan juga akan menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak lama lagi bagi menjelaskan secara terperinci perancangan kita berkaitan LCS. Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan,” ujarnya.

Menyentuh aspek Diplomasi Pertahanan pula, Hishammuddin berkata, Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang sedang berjalan akan dipertingkat ke peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Katanya, mesyuarat General Border Committee Malaysia Indonesia (GBC MALINDO) akan diadakan pada Februari ini dan Malaysia akan menjadi tuan rumah.

“Malaysia dan Indonesia bakal memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan menyeluruh yang pertama di antara kedua-dua negara selain mengadakan 55th General Border Committee antara Malaysia dan Thailand pada Mac.

“Penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2022) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC 2022) pada Mac nanti turut membolehkan saya, Ketua Setiausaha dan Panglima Angkatan Tentera bertemu rakan sejawat masing masing. Malah, ramai pemain industri dari seluruh dunia akan hadir,” ujarnya.

Bagi agenda memperkasa ATM, Hishammuddin memaklumkan, Kementerian Pertahanan dan ATM sedang berusaha untuk mendapatkan elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia.

“Selagi saya Menteri Pertahanan, veteran ATM akan terus menjadi matlamat utama terutama dalam konteks kesejahteraan. Atas sebab itu, saya telah arah Timbalan Menteri Pertahanan untuk melihat secara menyeluruh berhubung masalah, harapan dan keperluan veteran ATM di seluruh negara,” ujarnya.

Hishammuddin berharap dengan Pelan Tindakan 2022 ini, prestasi Kementerian Pertahanan dan ATM terus cemerlang dalam memelihara keselamatan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya